Integriti nilai utama penjawat awam

Integriti nilai utama penjawat awam

PENJAWAT awam yang berintegriti mampu bersikap inovatif, cekap dan mesra pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INTEGRITI merujuk kepada kualiti unggul berasaskan kejujuran, amanah dan amalan bermoral. Nilai ini menjadi asas penting dalam membentuk perkhidmatan awam yang berwibawa, telus serta diyakini rakyat.

Ia bukan sekadar tanggungjawab penjawat awam, malah perlu diterapkan di semua peringkat masyarakat termasuk sektor swasta.

Amanah, ketelusan dan akauntabiliti menjadi tunjang kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Penjawat awam berintegriti melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, menghindari salah guna kuasa serta rasuah.

Keputusan yang dibuat berpaksikan kepentingan rakyat dapat menjamin dasar kerajaan dilaksanakan dengan adil dan berkesan.

Amalan integriti juga menegakkan prinsip keadilan tanpa diskriminasi meningkatkan ketelusan serta mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Dalam era perubahan, penjawat awam yang berintegriti mampu bersikap inovatif, cekap dan mesra pelanggan.

Ciri-ciri ini seiring dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan nilai H.E.M.A.T yang menekankan tadbir urus baik, empati, inovasi serta ketelusan. Budaya integriti yang kukuh mewujudkan perkhidmatan progresif, beretika dan mampan.

Integriti memberi kesan langsung kepada disiplin kerja. Penjawat awam yang menepati masa, tidak ponteng dan tidak menyalahgunakan kuasa mampu meningkatkan produktiviti serta kecekapan organisasi.

Keyakinan rakyat terhadap pentadbiran juga bertambah, sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik, ekonomi dan menarik pelaburan asing.

Namun, amalan integriti berdepan cabaran seperti budaya materialistik, kepentingan peribadi, salah guna kuasa serta gejala rasuah dan kronisme. Jika tidak dibendung, ia boleh melemahkan dasar kerajaan serta menggagalkan matlamat ARPA. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang yang tegas, kesedaran berterusan dan budaya kerja berintegriti perlu diperkasa.

Kerajaan komited memperkukuh integriti melalui dasar antirasuah, penubuhan unit integriti, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) serta sistem audit dalaman. Latihan berkala, kod etika jelas dan mekanisme pemantauan berkesan terus diperkukuh agar nilai integriti menjadi budaya kerja yang konsisten.

Kesimpulannya, integriti ialah teras utama perkhidmatan awam. Ia merangkumi penolakan rasuah, disiplin kerja cemerlang serta penyampaian perkhidmatan yang telus dan berakauntabiliti.

Integriti kukuh memastikan rakyat terus percaya kepada kerajaan, memacu pembangunan negara serta menjadikan Malaysia lebih berwibawa dan dihormati. –UTUSAN

OOI CHUN BOON & SHAMSUL RIZAL IBRAHIM
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×