BERPERSATUAN merupakan wadah penting yang mempertemukan pentadbir dalam suasana kerja yang penuh cabaran dan tekanan. Di sinilah lahirnya jaringan profesional, hubungan sejawat dan semangat kekitaan yang menjadi tunjang kekuatan sesebuah organisasi.
Bagi mereka yang baru melangkah ke alam pekerjaan, persatuan bukan sekadar tempat berhimpun tetapi ruang untuk belajar, berkembang dan menyesuaikan diri dengan dunia kerja sebenar.
Apabila seseorang itu aktif berpersatuan, dia bukan sekadar mengisi nama dalam senarai ahli tetapi sedang membina jambatan ukhwah dan semangat kerjasama.
Dalam dunia pentadbiran yang sering menuntut kesempurnaan, persatuan menjadi tempat bernafas, berkongsi suka duka, mencari penyelesaian dan memulihkan semangat kerja. Malah, interaksi santai selepas mesyuarat atau aktiviti riadah anjuran persatuan mampu mengurangkan tekanan dan menguatkan motivasi diri.
Berpersatuan juga mendidik kita menjadi insan matang dan berjiwa besar. Kita belajar mengurus organisasi, menghargai pandangan berbeza dan memahami nilai kerja berpasukan.
Kejayaan tidak lahir daripada usaha individu semata-mata sebaliknya hasil kepercayaan dan komitmen bersama. Setiap ahli membawa nilai tersendiri dan setiap cabaran mampu diatasi apabila dihadapi secara kolektif.
Bagi mereka yang pernah memegang amanah sebagai jawatankuasa, pengalaman itu menjadi ‘sekolah kehidupan’ yang berharga. Tiada ganjaran besar tetapi nilai pengorbanannya tinggi.
Setiap program dan kebajikan yang dirancang lahir daripada semangat menjadikan berpersatuan sebagai amal jariah yang memberi makna dan pahala berpanjangan.
Selain membina kemahiran kepimpinan, persatuan turut melahirkan budaya teladan. Ramai yang terus aktif kerana terinspirasi dengan senior yang mampu seimbang antara kerjaya dan tanggungjawab berpersatuan. Mereka membuktikan kesibukan bukan alasan untuk tidak menyumbang, malah menjadi sumber kekuatan dan kematangan diri.
Akhirnya, berpersatuan menjadikan kita pentadbir yang lebih lengkap, profesional, berjiwa besar dan berperikemanusiaan. Ia bukan sekadar platform sosial tetapi medan membina potensi, memperluas jaringan dan menabur bakti.
Seperti pepatah Melayu, ‘seikat bakul takkan berat diangkat bersama.’ Maka marilah kita terus berganding bahu kerana di situlah terletak nadi kekuatan sebenar seorang pentadbir.-UTUSAN
NOOR AFZAN ZAKARIA
Timbalan Pendaftar, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










