Alam universiti bina peribadi mahasiswa

Alam universiti bina peribadi mahasiswa

MAHASISWA bukan sahaja hadir ke universiti untuk menuntut ilmu, tetapi juga untuk membina personaliti dan identiti diri yang matang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMASUKI alam universiti ibarat membuka helaian pertama sebuah diari kehidupan yang baharu. Pelajar yang kini bergelar mahasiswa perlu menyedari bahawa langkah ini menandakan bermulanya satu perjalanan penuh cabaran dan peluang.

Perubahan daripada seorang pelajar sekolah kepada mahasiswa menuntut mereka untuk beralih daripada kebiasaan kepada keistimewaan iaitu daripada biasa kepada luar biasa.

Mahasiswa bukan sahaja hadir ke universiti untuk menuntut ilmu, tetapi juga untuk membina personaliti dan identiti diri yang matang. Proses ini penting kerana universiti ialah medan latihan sebenar sebelum melangkah ke dunia kerjaya dan kehidupan masyarakat.

Mahasiswa perlu berani mencorak jati diri yang kukuh, menanam nilai kepimpinan, serta melengkapkan diri dengan daya tahan tinggi demi memperkukuh kelangsungan hidup pada masa hadapan yang semakin mencabar dan kompetitif.

Pengajian di universiti bukan sahaja bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata, malah ia menjadi penentu masa depan seseorang. Universiti ialah tempat terbaik untuk mempelajari pelbagai kemahiran insaniah seperti kebolehan berkomunikasi dengan baik, keupayaan menyelesaikan masalah secara kreatif, serta membina daya pemikiran kritis dan analitis. Kemahiran ini menjadi nilai tambah yang amat diperlukan apabila melangkah keluar ke alam kerjaya kelak.

Alam universiti adalah sebuah pengalaman yang tidak ternilai. Ia harus dinikmati sebaiknya kerana di sinilah mahasiswa belajar bukan sahaja ilmu di dalam dewan kuliah, tetapi juga ilmu kehidupan. Pembentukan personaliti yang baik melambangkan ketinggian peribadi seseorang. Seperti kata pepatah,

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya,” alam universiti merupakan masa terbaik untuk membentuk jati diri, menanam nilai murni, dan mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran kehidupan yang lebih besar di masa hadapan. – UTUSAN

DR. RAJA NAZIM RAJA ABDULLAH
Pensyarah Kanan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×