Al-Quran bukan sekadar teks untuk membaca, menghafal

Al-Quran bukan sekadar teks untuk membaca, menghafal

AL-QURAN bukan sekadar teks tetapi cahaya petunjuk Ilahi untuk umat manusia hingga akhir zaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGANJURAN Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 pada 2 hingga 9 Ogos lalu sekali lagi membuktikan penghormatan tinggi umat Islam terhadap kitab suci al-Quran.

Keagungan kalam Ilahi ini bukan sekadar dipertahankan melalui hafazan dan bacaan tetapi turut dipelihara melalui kajian ilmiah yang menjawab syubhah serta tohmahan.

Sejak dahulu hingga kini, pelbagai tuduhan dilemparkan bagi menimbulkan keraguan terhadap keaslian al-Quran. Antara yang paling kerap ialah dakwaan al-Quran hanyalah rekaan Nabi Muhammad SAW.

Tuduhan ini bukanlah perkara baharu, bahkan telah dijawab sejak lebih 1,400 tahun lalu. Al-Quran sendiri menegaskan kebenarannya sebagai wahyu daripada Allah SWT melalui cabaran terbuka kepada manusia dan jin supaya menghasilkan kitab yang setanding dengannya.

Cabaran ini disampaikan dalam tiga peringkat. Pertama, cabaran umum untuk menghasilkan kitab seumpamanya. Setelah gagal, cabaran diringankan kepada 10 surah dan akhirnya hanya satu surah yang sebanding.

Namun, sehingga kini tiada sesiapa pun mampu menyahutnya. Keunggulan bahasa, keindahan makna dan ketepatan hukum yang terkandung di dalam al-Quran membuktikan ia bukan hasil karya manusia. Mustahil seorang yang ummi seperti Nabi SAW mampu menghasilkan sesuatu yang menandingi kebijaksanaan al-Quran.

Selain itu, keaslian al-Quran terpelihara sepanjang zaman melalui tiga mekanisme utama. Pertama, tradisi hafazan. Sejak awal, al-Quran bukan sekadar teks bertulis tetapi diwarisi secara lisan melalui sanad mutawatir yang kukuh.

Ayat-ayat yang ditulis pada awal Islam berfungsi sebagai alat bantu hafalan manakala bacaan hafiz menjadi asas kepada pemeliharaannya. Pandangan orientalis yang menyamakan al-Quran dengan kitab-kitab lain seperti Bible ternyata tidak tepat kerana metodologi kritikan teks tidak boleh diaplikasikan kepada al-Quran.

Mekanisme kedua ialah pengumpulan al-Quran oleh para sahabat. Selepas ramai huffaz syahid dalam Perang Yamamah, Abu Bakar memulakan usaha menghimpunkan keseluruhan ayat dengan ketelitian tinggi.

Zaid bin Thabit ditugaskan menyemak setiap ayat berdasarkan hafazan dan tulisan yang disahkan oleh dua orang saksi. Suhuf ini diwarisi Umar, kemudian Hafsah, sebelum Uthman menyatukan qiraat yang pelbagai kepada Mushaf Uthmani. Naskhah tersebut dihantar ke seluruh wilayah Islam bagi mengekalkan keseragaman bacaan. Proses ini membuktikan sistem pengumpulan al-Quran bersifat kolektif, teliti dan berpaksikan autoriti kenabian.

Mekanisme ketiga ialah prinsip penulisan mengikut bacaan, bukan sebaliknya. Ragam qiraat yang wujud tidak membawa percanggahan kerana ia adalah riwayat sahih daripada Nabi SAW.

Tulisan mushaf pada zaman awal tidak bertitik dan bertanda menyebabkan orientalis menyangka berlaku kekeliruan. Hakikatnya, al-Quran dibaca terus daripada hafazan, manakala tulisan hanya mengikuti cara bacaan. Prinsip al-rasmu tabi‘un li al-riwayah menjadi asas pemeliharaan keaslian al-Quran.

Al-Quran diturunkan dalam satu bahasa, kepada seorang Rasul, dalam tempoh lebih dua dekad serta dihafal ribuan sahabat sejak awal penurunannya. Mushaf Uthmani yang dihasilkan hanya 15 tahun selepas kewafatan Nabi SAW membuktikan al-Quran telah lengkap, tersusun dan dipelihara sejak awal.

Al-Quran kekal sebagai mukjizat sepanjang zaman. Keindahan bahasanya, ketinggian makna serta kebenaran isinya tidak dapat ditandingi sesiapa pun. Dakwaan ia rekaan manusia disanggah melalui cabaran terbuka yang tidak pernah berjaya disahut. Mekanisme hafazan, pengumpulan teliti serta penulisan berpandukan bacaan sahih menjadi bukti al-Quran terpelihara secara sempurna.

Al-Quran bukan sekadar teks tetapi cahaya petunjuk Ilahi untuk umat manusia hingga akhir zaman. Memelihara kemurniannya adalah amanah seluruh umat Islam, bukan hanya ulama atau huffaz.

Menjawab tohmahan, memperkukuh pemahaman sejarah wahyu dan menyampaikan hujah ilmiah berlandaskan nas yang sahih adalah tanggungjawab bersama.

Sesungguhnya, al-Quran akan kekal terpelihara sebagaimana janji Allah SWT, kitab ini adalah kalam-Nya, bukan ciptaan insan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. AZRI BHARI
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN