DALAM mendepani pelbagai kemungkinan, perairan negara yang menjadi laluan perdagangan, sumber rezeki dan habitat biodiversiti perlu dilindungi daripada ancaman tumpahan minyak. Ini kerana ia boleh menjejaskan alam sekitar, ekonomi serta kesejahteraan komuniti.
Justeru, prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan pada 1995 melibatkan 15 perkara utama melalui beberapa siri perbincangan dan penambahbaikan dapat diperkukuh dengan penekanan kepada kesiapsiagaan agensi, keberkesanan aset dan protokol komunikasi, melalui komitmen dua negara dalam mengekalkan kelestarian alam.
SOP ini merupakan mekanisme bersama Malaysia dan Brunei bagi menyelaras tindakan dan mempercepatkan respons terhadap insiden tumpahan minyak merentas sempadan perairan.
Selepas hampir tiga dekad, semakan semula amat penting memandangkan:
• Peningkatan aktiviti industri minyak dan gas berhampiran sempadan perairan kedua-dua negara
• Keperluan respons pantas dan bersepadu sekiranya berlaku insiden tumpahan minyak
• Perlindungan ekologi serta ekonomi di kawasan strategik Laut China Selatan termasuk Teluk Brunei
Jabatan Alam Sekitar (JAS) percaya pengemaskinian SOP akan meningkatkan mekanisme komunikasi, pemakluman awal serta operasi pembersihan tumpahan minyak, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan kedua-dua negara dalam melindungi alam sekitar marin dan kepentingan masyarakat serantau.
Berdasarkan rekod JAS bagi tempoh Januari hingga September 2025, sebanyak tujuh kes aduan tumpahan minyak dilaporkan.
Berdasarkan anggaran kasar, kos pembersihan boleh mencecah melebihi RM100,000 tidak termasuk kerugian dari segi ekonomi negara yang terjejas dan kerosakan alam sekitar di pesisiran pantai terutamanya.
JAS terus komited melalui beberapa siri bengkel dan simulasi tindak balas melawan tumpahan minyak untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan pegawai serta agensi yang terlibat di dalam pengurusan tumpahan minyak.
Latihan ini turut menjadi platform perkongsian kepakaran, teknologi, sistem kawalan dan kaedah komunikasi yang lebih teratur antara semua pihak.-UTUSAN
JABATAN ALAM SEKITAR
Kuala Lumpur










