Tangani buli remaja melalui pendidikan ihsan, akhlak

Tangani buli remaja melalui pendidikan ihsan, akhlak

SEKOLAH boleh wujudkan sesi muhasabah pagi, amalan doa bersama dan kempen antibuli berasaskan ihsan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEJALA buli dalam kalangan pelajar, sama ada di sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) semakin membimbangkan. Ia bukan sekadar melibatkan penderaan fizikal dan emosi malah boleh membawa kepada tragedi seperti kematian.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran diadakan, namun buli masih berulang kerana punca akarnya belum ditangani secara menyeluruh.

Dalam Islam, pencegahan tingkah laku negatif seperti buli bermula dengan menanamkan nilai ihsan, iaitu kesedaran kita sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT.

Konsep ini mendidik jiwa untuk takut berbuat zalim walaupun tiada sesiapa yang melihat. Nilai ini jika diterapkan sejak kecil, mampu mencegah seseorang daripada menyakiti orang lain.

Buli biasanya lahir daripada hati yang kosong dari sifat kasih sayang dan empati. Ia mencerminkan kelemahan akhlak. Maka, pendidikan bukan hanya perlu menghukum pelaku buli tetapi membentuk akhlak pelajar secara menyeluruh.

Firman Allah dalam Surah al-Qalam mengiktiraf akhlak mulia Rasulullah SAW, menandakan betapa pentingnya akhlak dalam kehidupan.

Tasawwuf berperanan penting dalam pendidikan remaja dengan menanamkan sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah seperti sombong dan dendam. Program agama di sekolah perlu menekankan nilai ihsan secara praktikal melalui lakonan, cerita dan aktiviti refleksi. Contohnya, kisah budak gembala dalam kitab Hilyat al-Awliya’ yang menolak rasuah dengan bertanya, “Fa aina Allah?” menjadi pengajaran mendalam tentang takwa.

Peranan guru dan ibu bapa juga penting. Mereka harus menunjukkan teladan baik kerana remaja banyak belajar melalui pemerhatian. Sekolah boleh wujudkan sesi muhasabah pagi, amalan doa bersama dan kempen antibuli berasaskan ihsan. Sistem mentor rakan sebaya juga boleh membantu pelajar yang terpinggir.

Memang ada cabaran seperti pengaruh media sosial, tekanan rakan sebaya dan latar keluarga. Namun, pendekatan kreatif dan konsisten diperlukan untuk membentuk jiwa pelajar. Pendidikan ihsan adalah ‘vaksin rohani’ paling ampuh bagi membendung gejala buli secara berkesan dan berpanjangan.-UTUSAN

DR. NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD
Pengarah / Felo Utama
Pusat Kajian Syariah,
Undang-Undang dan Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×