ISU keselamatan kanak-kanak berkeperluan khas pernah menggemparkan negara apabila Zayn Rayyan Abdul Matiin, seorang kanak-kanak autisme, ditemui meninggal dunia selepas dilaporkan hilang pada Disember 2023. Tragedi ini mengundang trauma mendalam, selain menyedarkan masyarakat betapa rentannya kanak-kanak istimewa terhadap pelbagai ancaman. Namun, selepas beberapa bulan, isu ini seakan lenyap dari perhatian.
Dalam masa sama, kerajaan memperkenalkan Program Menu Rahmah, satu inisiatif murni untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan makanan pada harga mampu milik. Namun timbul persoalan besar, adakah keperluan pemakanan kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif, (ADHD) serta Sindrom Down turut diberi perhatian?
Ramai tidak sedar kanak-kanak istimewa ini mempunyai keperluan pemakanan khusus. Diet yang seimbang mampu mempengaruhi emosi, tingkah laku dan fokus mereka. Contohnya, kanak-kanak ADHD sensitif terhadap gula dan bahan tambahan, manakala sesetengah kanak-kanak autisme memerlukan diet bebas gluten atau kasein.
Sayangnya, aspek ini jarang diberi perhatian dalam dasar sosial dan kebajikan negara. Program makanan di sekolah masih bersifat umum, tanpa mengambil kira keperluan khas kanak-kanak istimewa. Lebih membimbangkan, keluarga berpendapatan rendah tidak mampu menyediakan makanan khas kerana kosnya jauh lebih tinggi berbanding makanan biasa.
Atas sebab itu, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan satu skim khas seperti Menu Rahmah Istimewa. Skim ini boleh menawarkan makanan mesra kanak-kanak berkeperluan khas pada harga subsidi, dibangunkan berdasarkan nasihat pakar pemakanan dan kesihatan. Langkah ini juga boleh diperluaskan ke sekolah pendidikan khas dan keluarga B40 yang mempunyai anak istimewa, melalui baucar atau bantuan makanan sihat.
Ini bukan sekadar soal makanan tetapi berkaitan hak kanak-kanak untuk membesar dalam persekitaran yang menyokong perkembangan fizikal, emosi dan mental. Kerajaan seharusnya tidak melupakan suara ibu bapa anak istimewa yang sering terpinggir dalam perancangan dasar.
Jika kerajaan benar-benar serius membina masyarakat inklusif, maka menyediakan skim khas Menu Rahmah untuk mereka bukanlah pilihan tetapi keperluan.-UTUSAN
DR. YOHAN KURNIAWAN
Pensyarah Kanan,
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya










