Sirah Rasulullah asas Malaysia Madani

Sirah Rasulullah asas Malaysia Madani

RAKYAT Malaysia yang cintakan tanah air ini kita perlu mencontohi teladan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI  ini sekali lagi umat Islam memperingati  dan meraikan Maulidur Rasul. Kita harus menginsafi bahawa Rasulullah SAW bukan sekadar membawa risalah agama bahkan Baginda adalah pemimpin negara yang membina asas peradaban dunia. Baginda berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang rencam dari sudut agama, etnik dan budaya, melalui kepimpinan yang adil dan penuh kasih sayang.

Di Malaysia cabaran kepimpinan hari ini tidak jauh bezanya. Polarisasi politik, sikap prejudis antara kaum serta bermulanya krisis keyakinan rakyat terhadap institusi memerlukan teladan kepimpinan berwibawa dan berakhlak mulia. Dengan mengambil inspirasi daripada Rasulullah SAW negara dapat membina kepimpinan yang lebih inklusif dan diterima semua kaum tanpa mengira latar belakang.

 

SEMANGAT PIAGAM MADINAH & PERLEMBAGAAN NEGARA

Piagam Madinah bukanlah sesuatu yang asing untuk diketahui.  Ia digubal oleh Rasulullah SAW dengan menekankan prinsip kebebasan beragama, hak asasi setiap warganegara dan kerjasama mempertahankan keamanan bersama.

Melalui semangat yang selari, Malaysia juga telah meletakkan asas kukuh melalui Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjadi panduan perpaduan selepas tragedi 13 Mei 1969. Namun lebih lima dekad kemudian kita masih dibelengu oleh isu-isu yang menggugat keharmonian seperti retorik politik perkauman sempit, penyebaran fitnah di media sosial yang berleluasa dan sentimen agama yang dieksploitasi.

Kerajaan Madani kini menekankan pendekatan keterangkuman dengan dasar-dasar yang merentasi kaum dan agama seperti penekanan kepada pendidikan percuma untuk golongan miskin, pengagihan subsidi yang lebih bersasar serta usaha memperkukuh perpaduan melalui Rukun Negara. Semua ini adalah langkah penting ke arah merealisasikan semangat Negara Madinah dalam konteks Malaysia hari ini.

 

KEADILAN TERAS KEMAKMURAN NEGARA

Rasulullah SAW tidak pernah mengamalkan pilih kasih. Keadilan ditegakkan tanpa mengira status atau kedudukan. Baginda menolak sebarang usaha melindungi golongan elit daripada undang-undang walaupun mereka dekat dengan dirinya. Ianya terbukti dengan komitmen yang dizahirkan baginda waima anakandanya Fatimah sendiri terlibat mencuri nescaya bagainda sendiri yang akan memotong tangannya!

Ironinya hari ini negara berdepan cabaran lebih besar dalam menegakkan prinsip keadilan di sisi undang-undang. Kes-kes berkaitan rasuah mega, salah guna kuasa dan ketidakadilan penguatkuasaan sering menimbulkan keresahan rakyat. Persepsi bahawa “orang kaya terlepas, orang miskin dihukum” menjadi ancaman terhadap krisis keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Namun iltizam Kerajaan Madani untuk terus memperkukuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), memulihkan tadbir urus agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan melaksanakan reformasi institusi adalah usaha yang menepati teladan Nabi SAW. Hanya dengan sistem perundangan yang bebas dan adil, Malaysia boleh mencapai kestabilan politik serta keyakinan pelabur sekaligus membuka jalan ke arah kemakmuran bersama.

 

MODAL SOSIAL YANG MESTI DIPULIHKAN

Rasulullah SAW digelar al-Amin kerana sifat amanahnya.  Kepercayaan masyarakat terhadap Baginda seawal kehadiranya dalam masyarakat Arab jahiliyyah Ketika itu menjadi asas kejayaan dakwah dan kepimpinan.

Sebaliknya Malaysia yang diwarisi ini masih dibelenggu krisis integriti. Skandal kewangan, salah guna kuasa dan ketirisan perbelanjaan awam menghakis keyakinan rakyat. Akibatnya, modal sosial iaitu kepercayaan rakyat kepada institusi menjadi rapuh dan mudah terhakis.

Justeru komitmen Kerajaan Madani memberi fokus kepada pembaharuan institusi termasuk mewajibkan ketelusan dalam pengisytiharan harta, tatakelola baik, terus berusaha mewujudkan Akta Pendanaan Politik serta memperluas penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan awam bagi mengurangkan ruang rasuah. 

Semua ini adalah langkah untuk menghidupkan semula sifat amanah yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW agar Malaysia kembali dipandang sebagai negara yang stabil, dipercayai dan berwibawa.

 

PENDIDIKAN, KASIH SAYANG & PEMBINAAN MASYARAKAT

Sayugia, Rasulullah SAW bukan sekadar seorang pendidik tetapi juga insan yang menerapkan nilai kasih sayang dalam membentuk masyarakat. Baginda mendidik umat supaya menghormati orang tua, menyayangi anak kecil serta berlaku adil terhadap semua manusia bahkan makhluk keseluruhannya.

Maka penting bagi Malaysia hari ini untuk memerlukan pendidikan yang lebih daripada sekadar pencapaian akademik. Sistem pendidikan mesti menanamkan nilai kebersamaan, empati dan semangat kenegaraan. Penguasaan teknologi dan sains penting tetapi ia harus seiring dengan pembentukan sahsiah, budi pekerti mulia dan semangat patriotisme.

Kerajaan Madani harus memberi tumpuan serius kepada pendidikan inklusif, dengan memperkukuh sekolah kebangsaan sebagai teras integrasi, memperluas akses pendidikan untuk golongan miskin bandar dan luar bandar serta menggalakkan nilai keterangkuman budaya. Inilah langkah yang sejajar dengan inspirasi Rasulullah SAW dalam membina masyarakat penyayang, berilmu dan berakhlak.

 

MENJAYAKAN SEMANGAT NEGARA MADINAH

Konsep Malaysia Madani bukan sekadar slogan tetapi sebuah kerangka besar negara yang berteraskan enam prinsip utama: kemampanan, kesejahteraan, Daya cipta, Keyakinan dan ihsan.

Antara pelaksanaan nyata yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini adalah pelaksanaan ekonomi Madani yang menekankan pertumbuhan seimbang sambil mengurangkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.

Pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah seperti Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah dan Klinik Rahmah dan sebagainya yang dapat membantu rakyat berpendapatan rendah mengharungi kos sara hidup. Mereformasi institusi bagi memulihkan keyakinan terhadap sistem demokrasi dan menegakkan ketelusan. Menggerakkan agenda pendidikan inklusif yang mengutamakan pembentukan Insan seimbang dari segi ilmu, akhlak dan empati.

Langkah-langkah ini jelas telah membawa Malaysia lebih dekat kepada cita-cita membina sebuah negara yang mencontohi semangat Negara Madinah yang diasaskan Rasulullah SAW.

 

TANGGUNGJAWAB KOLEKTIF 

Pembinaan semula negara berlandaskan konsep Malaysia Madani yang mencerminkan roh Negara Madinah tidak boleh diletakkan pada bahu kerajaan semata-mata. Ia merupakan tanggungjawab bersama rakyat seluruhnya bagi memastikan setiap perubahan itu terlaksana. Ianyanya selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 11 menegaskan:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Maka sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini kita perlu mencontohi teladan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Kita mestilah mengambil sikap menolak politik kebencian, politik perkauman sempit, politik melampau,  menjaga integriti dalam pekerjaan, menghormati jiran yang berbeza agama serta meneruskan sifat empati terhadap golongan yang memerlukan.

 

SERUAN SEMANGAT RASULULLAH SAW

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” (Riwayat al-Tabarani).

Inilah seruan agung yang harus dihayati oleh setiap warganegara. Semangat perjuangan Baginda menuntut kita supaya menjadi umat yang berkhidmat bukan mementingkan diri. Umat yang bersatu bukan berpecah belah dan membenci. Umat yang membina kesatuan bukan meruntuh dan bermusuhan.

Marilah kita jadikan semangat baginda Rasulullah SAW sebagai pedoman dalam mendukung negara Malaysia yang kita cintai ini. Biarlah roh kasih sayang, amanah, keadilan dan perpaduan yang ditinggalkan Baginda menjadi suluh kepada perjalanan negara ini.

Dengan izin Allah SWT, Malaysia akan terus melangkah sebagai sebuah negara yang adil, makmur dan penuh Rahmat, persis semangat Negara Madinah yang menjadi teladan sepanjang zaman.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rahmah Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×