Siap sedia hadapi ancaman gempa bumi

Siap sedia hadapi ancaman gempa bumi

SEHINGGA kini sebanyak 59 kejadian gempa bumi direkodkan di Semenanjung dan 67 kejadian pula di Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJADIAN gempa bumi yang berlaku di awal pagi di Segamat, Johor jelas menunjukkan keperluan untuk memperkasakan kesiapsiagaan terhadap ancaman bencana gempa bumi di Malaysia. Beberapa pandangan dan ulasan pakar terhadap fenomena ini dikatakan berpunca daripada aktiviti pergerakan kerak bumi di kawasan tersebut.

Gegaran yang berlaku, bermagnitud 4.1 dikategorikan sebagai sederhana tanpa ada kerosakan besar jelas membuktikan negara ini tidak terkecuali dariapada risiko terhadap ancaman gempa bumi. Malahan, laporan statistik ada merekodkan, sehingga kini sebanyak 59 kejadian gempa bumi direkodkan di Semenanjung dan 67 kejadian pula di Sabah.

Kejadian gempa bumi terkini ini, memberi isyarat kepada pihak berkuasa untuk memperkukuhkan sistem pemantauan, prosedur amaran awal, keperluan audit struktur keselamatan bangunan dan kempen kesedaran awam dalam menguruskan risiko bencana ini.

Lokasi strategi seperti hospital, sekolah, universiti dan bangunan tinggi antara yang berisiko mendapat kesan signifikan harus diberi penekanan dalam kesiapsiagaan melalui pendidikan kesedaran dan latihan evakuasi berkala.

Masyarakat umum di semua peringkat wajar dididik dan diberi kesedaran tentang langkah keselamatan yang wajar diambil semasa berlakunya gempa bumi seperti tidak panik, ‘tunduk, berlindung, pegang’ ketika gegaran, jauhi tingkap kaca, keluar dengan tenang selepas reda, elak menggunakan lif, memeriksa kerosakan struktur bangunan dan menyimpan kit kecemasan di rumah.

Gegaran di Segamat adalah amaran supaya kita tidak leka. Gempa bumi mungkin jarang, tetapi sekali melanda, kesannya boleh membawa bencana besar.

Siap siaga bermula hari ini boleh menyelamatkan ribuan nyawa pada masa hadapan.-UTUSAN

FAIRUS MUHAMAD DARUS
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×