KERAJAAN baru-baru ini melaksanakan langkah penstrukturan tarif elektrik dengan matlamat menjadikan sistem subsidi lebih adil, tepat sasaran serta berdaya tahan untuk jangka masa panjang.
Keputusan ini diambil setelah mengambil kira realiti kos tenaga global yang sentiasa berubah-ubah dan memberi kesan ketara terhadap kedudukan kewangan negara.
Dengan adanya penstrukturan semula tarif, kerajaan mahu memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, bukannya diagihkan secara menyeluruh tanpa mengira tahap penggunaan.
Secara mudah, penstrukturan tarif boleh difahami sebagai proses kerajaan mengubah cara pengiraan bil elektrik. Ia menyerupai sistem ‘tangga harga’ iaitu pengguna yang menggunakan elektrik dalam jumlah kecil akan membayar pada kadar rendah, manakala pengguna yang menggunakan lebih banyak tenaga perlu membayar mengikut kadar sebenar.
Pendekatan ini sekali gus menutup ruang kebocoran subsidi yang sebelum ini dinikmati golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan elektrik secara berlebihan.
Dari sudut isi rumah, kesan positif lebih dirasai golongan B40 dan M40. Contohnya, keluarga dengan bil elektrik bulanan sekitar RM60 hingga RM80 mungkin akan mendapati jumlah bayaran kekal sama atau malah lebih rendah berbanding sebelum ini. Sebaliknya, rumah dengan bil mencecah RM300 ke atas akan mula merasai peningkatan kerana subsidi dikurangkan bagi penggunaan tinggi.
Walaupun perbezaan hanya sekitar RM10 hingga RM20 sebulan untuk golongan berpendapatan rendah, jumlah tersebut amat bermakna. Jika dikumpul dalam tempoh setahun, ia bersamaan RM120 hingga RM240, cukup untuk membeli barangan dapur, minyak masak atau menampung kos peralatan sekolah anak-anak.
Kesan positif tidak hanya berhenti pada tahap individu. Penjimatan kecil pada isi rumah akan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan. Lebihan wang yang tidak lagi digunakan untuk membayar bil elektrik beralih kepada perbelanjaan di kedai runcit, pasar malam atau khidmat tempatan. Peniaga kecil akan menerima limpahan ini dalam bentuk pertambahan pelanggan dan jualan, sekali gus menggerakkan roda ekonomi komuniti.
Ringkasnya, apa yang disimpan oleh isi rumah akhirnya kembali menyumbang kepada keuntungan masyarakat setempat.
Dari sudut fiskal negara pula, penstrukturan tarif ini adalah contoh nyata pelaksanaan subsidi tersasar. Subsidi tersasar bermaksud hanya golongan benar-benar layak menerima bantuan, bukan diagihkan secara meluas. Analogi mudahnya, dalam sebuah kenduri, hanya tetamu yang dijemput patut menikmati hidangan, bukannya semua yang kebetulan lalu di tepi jalan.
Pendekatan ini membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan, mengurangkan defisit serta membolehkan dana dialihkan kepada sektor lain yang lebih mendesak seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam.
Selain aspek kewangan, langkah ini juga membawa kesan mendidik pengguna. Menyedari bil akan meningkat jika tenaga digunakan secara berlebihan, rakyat terdorong untuk lebih berhemah. Amalan mudah seperti menetapkan suhu penghawa dingin pada 24°C, menggunakan lampu LED, menutup suis dan mencabut plag apabila tidak digunakan boleh mengurangkan bil. Di samping itu, ia turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon serta membantu negara mencapai sasaran pembangunan lestari.
Dari perspektif makroekonomi, struktur tarif baharu juga mampu mengawal tekanan inflasi. Jika tarif dinaikkan terlalu tinggi tanpa kawalan, kos operasi kilang, kedai dan perkhidmatan pasti meningkat, lalu menyebabkan harga barang melonjak. Dengan penstrukturan semasa, kenaikan harga dapat diminimumkan, seterusnya membantu mengekalkan kestabilan inflasi negara.
Sektor tenaga turut menerima manfaat melalui pelarasan ini. Tarif yang lebih adil memastikan syarikat utiliti mengekalkan pendapatan mencukupi untuk menyelenggara infrastruktur sedia ada serta membuat pelaburan baharu, termasuk dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Keadaannya sama seperti kutipan tol lebuh raya, apabila kutipan mencukupi dan seimbang, jalan dapat diselenggara dengan baik tanpa menekan pengguna berpendapatan rendah.
Namun begitu, kerajaan tetap berdepan cabaran. Subsidi perlu dipantau agar tidak disalah guna dan dalam masa sama kerajaan perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan kenaikan mendadak kos tenaga global pada masa hadapan. Justeru, galakan terhadap penggunaan tenaga alternatif seperti solar, hidro dan angin dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang yang lebih mampan.
Akhir sekali, pengguna disaran memanfaatkan sepenuhnya penjimatan ini melalui gaya hidup bijak tenaga. Jika setiap rumah berjaya mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 10 peratus, kesannya amat besar, seolah-olah sebuah bandar kecil secara kolektif berjaya menurunkan bil elektrik dalam masa yang sama.
Inilah sebenarnya matlamat utama penstrukturan tarif elektrik iaitu apabila rakyat menikmati penjimatan, ekonomi menjadi lebih mampan dan negara berada di landasan betul untuk membina masa hadapan tenaga yang lebih lestari.-UTUSAN
DR. MOHD. KHAIRI ISMAIL
Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya & Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)










