KITA sering mendengar ungkapan jauh perjalanan luas pemandangan. Hakikatnya, melancong bukan sekadar berliburan, berbelanja atau menikmati keindahan alam.
Ia adalah cerminan kekuatan jiwa bangsa, wadah memperkukuh identiti serta medan memupuk nilai patriotisme dalam diri sendiri. Soalnya, adakah kita benar-benar sedar peranan besar pelancongan dalam membentuk rasa cinta kepadatanah air tercinta?
Pada hemat saya, patriotisme bukan sekadar tentang mengibar Jalur Gemilang pada setiap bulan Ogos tetapi juga tentang menghargai negara yang tercinta.
Apabila melancong ke destinasi dalam negara sama ada ke Pulau Langkawi, Taman Negara, Kundasang atau Melaka, saya melalui proses mengenali sejarah, memahami warisan dan menjiwai budaya yangmenjadi sebahagian daripada jati diri bangsa.
Setiap kali melangkah ke tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di George Town atau mendengar kisah-kisah sejarah perjuangan di Muzium Pasir Salak, secara tidak langsung menguatkan semangat patriotism di dalam jiwa.
Saya belajar negara ini dibina dengan sejarah pengorbanan, darah dan air mata generasi terdahulu.
Pelancongan menjadi wadah pembelajaran yang mendidik dengan cara yang tidak disedari. Apabila menyusuri desa dan berinteraksi dengan komuniti Orang Asli atau nelayan di Terengganu, saya belajar tentang kesederhanaan, kesyukuran dan ketabahan.
Namun begitu, ada juga yang bertanya, bagaimana melancong ke luar negara dapat memberi manfaat? Bagi saya, setiap perjalanan ke luar negara mengukuhkan rasa patriotisme dalam bentuk yang berbeza.
Melewati jalan-jalan di London atau Istanbul, saya tidak dapat lari daripada membandingkan taraf kemudahan, kebersihan, sistem pengangkutan dan layanan masyarakat dengan apa yang a ada di Malaysia.
Melihat taman awam indah seperti Battery Park di New York atau sistem metro yang kompleks tetapi teratur di Seoul, menimbulkan tekad dalam diri Malaysia sebenarnya mampu menjadi lebih baik.
Pelancongan luar negara juga mengajar tentang perbezaan dan persamaan. Apabila solat di masjid kecil di Istanbul atau duduk minum kopi di jalan-jalan kecil Hanoi, saya sedar bangsa Malaysia mempunyai keistimewaan kepelbagaian budaya yang tidak dimiliki semua negara.
Kita ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan banyak lagi etnik yang hidup bersama. Dari pengalaman luar, kita belajar keharmonian bukan sesuatu yang wajar diambil mudah. Ia adalah aset negara, sekali gus sumber patriotisme yang unik.
Dari pengalaman inilah lahir rasa insaf dan kesedaran, cinta kepada ibu pertiwi untuk melihat tanah air terus maju.
Anak muda perlu dididik yang melancong bukan sekadar untuk mencipta konten media sosial tetapi sebagai cara menimba pengalaman dan ilmu.
Institusi pendidikan seharusnya memanfaatkan pelancongan domestik sebagai sebahagian daripada kurikulum pembelajaran agar sejarah tidak hanya dibaca tetapi dihayati melalui pengalaman sebenar.
Manakala kerajaan pula mesti memastikan produk pelancongan diurus dengan baik, agar setiap pengalaman pelancongan meninggalkan kesan mendala terhadap jiwa, baik orang kita atau pelancong antarabangsa.
Patriotisme tidak boleh dipaksa. Ia tumbuh daripada kefahaman dan pengalaman. Sekiranya rakyat Malaysia lebih kerap melancong di dalam negara sambil sesekali melihat dunia luar, mereka akan menjadi generasi yang lebih cintakan tanah air.
Sebagai seorang penyelidik dalam bidang ekonomi pelancongan, saya ingin menegaskan janganlah melihat pelancongan hanya sebagai ‘industri menjana duit.’ Ia adalah wadah membina karakter bangsa, menanam rasa bangga dan menyuburkan cinta pada tanah air.-UTUSAN
PROFESOR DR. MOHD HAFIZ HANAFIAH
Timbalan Rektor ICARE Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Selangor










