MENJELANG 2028, pasaran pelancongan muslim global dijangka bernilai lebih AS$225 bilion (RM1.06 trilion) dengan lebih 230 juta pelancong muslim. Malaysia sebagai negara Islam moden dan aman, mempunyai peluang besar untuk menjadi peneraju dalam pasaran ini.
Pelancong muslim masa kini bukan sahaja melancong, malah mahu pengalaman yang menepati nilai Islam. Kajian menunjukkan mereka cenderung untuk tinggal lebih lama dan berbelanja secara konsisten. Maka, pelaksanaan pelancongan mesra muslim mampu melonjakkan industri pelancongan tempatan ke tahap lebih tinggi.
Malaysia tidak pernah ketinggalan dalam usaha ini. Menurut Indeks Perjalanan Muslim Global (GMTI) 2024 oleh Mastercard-Crescent Rating, Malaysia kekal di kedudukan teratas sebagai destinasi mesra muslim paling popular di dunia. Kejayaan ini hasil kerjasama kerajaan, sektor pelancongan dan pihak industri dalam menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa.
Pelancongan Islamik kini lebih daripada sekadar makanan halal dan ruang solat. Ia mencakupi pengalaman rohani, kebudayaan, pendidikan dan rekreasi yang selaras dengan gaya hidup muslim. Malaysia memiliki kelebihan dari sudut ekosistem halal, kepelbagaian budaya, kestabilan politik dan infrastruktur yang mantap.
Terdapat dua konsep penting Pelancongan Islamik iaitu perjalanan berteraskan nilai dan identiti Islam (seperti lawatan ke masjid bersejarah dan muzium Islam), serta Pelancongan Mesra Muslim, yang memberi penekanan kepada kemudahan patuh syariah seperti makanan halal, waktu solat dan ruang ibadah.
Malaysia mampu menawarkan kedua-dua pengalaman ini secara serentak. Masjid Sultan Abdul Aziz Shah (Blue Mosque), contohnya, dinobatkan sebagai Lokasi Pelancongan Islamik Terbaik di Anugerah Industri Pelancongan 2025. Negara ini turut memiliki rangkaian bekalan halal yang kukuh, daripada makanan ke farmaseutikal serta hospitaliti dan kesantunan budaya yang tinggi.
Bandar-bandar seperti Shah Alam, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Melaka boleh dimajukan sebagai Jejak Warisan Islam dan Kerohanian Bandar. Pakej pelancongan seperti lawatan berpandu, pameran interaktif serta program dua hari satu malam boleh menjadi tarikan utama.
Namun, pelaksanaan pelancongan Islamik perlu berpandukan garis panduan yang jelas, terutama melibatkan kunjungan pelancong bukan Muslim ke masjid. Akreditasi pemandu pelancong Islamik, etika menerima pelawat dan kefahaman fiqh pelancongan sangat penting agar pelaksanaan tidak melanggar batas syariah.
Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk memimpin pelancongan Islamik global. Kunci kejayaan bukan sekadar label ‘halal’ tetapi pengalaman menyeluruh yang konsisten dari tempahan digital hingga saat pelancong pulang dengan ilmu dan kenangan bermakna.
Langkah strategik seperti membina pusat kecemerlangan, memantapkan piawaian, memperkaya produk bertema, mendigitalkan maklumat mesra Muslim dan memperkukuh pemasaran mampu menjadikan Malaysia sebagai Hab Pelancongan Islamik Global.
Pelancongan Islamik bukan lagi segmen kecil, ia peluang besar untuk meningkatkan ekonomi, membina hubungan diplomatik dan memperkukuh imej negara. Malaysia meletakkan asas kukuh dan kini masanya untuk bergerak lebih jauh dengan inovasi, strategi jangka panjang lagi kerjasama menyeluruh.-UTUSAN
DATUKAZLIE HALIM
Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK) & Timbalan Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA)









