KEPUTUSAN Pas mahu menggunakan logo sendiri di negeri-negeri SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) bukan sekadar soal strategi tetapi lambang keangkuhan politik. Pas seolah-olah mahu membuktikan mereka cukup kuat untuk berdiri sendiri. Namun, sejarah dan realiti politik Malaysia membuktikan sebaliknya. Walaupun muncul sebagai antara parti terbesar di Parlimen ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), perlu diingatkan itu bukan kejayaan Pas semata-mata sebaliknya kekuatan kuasa baharu ketika itu iaitu Perikatan Nasional (PN) yand diketuai bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kekuatan Pas hanya terkumpul di kawasan majoriti Melayu yang homogen. Di luar kubu itu, terutama di kawasan bandar, pinggir bandar dan negeri berbilang kaum, bendera bulan hanya menimbulkan rasa curiga dan tidak diterima secara meluas. PRU bukan hanya tentang Kelantan atau Terengganu. PRU adalah tentang Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak – wilayah yang menentukan siapa benar-benar berkuasa di Putrajaya.
Jika Pas terlalu selesa dengan ‘zon selamat’ di SG4, itu hanyalah kemenangan kecil yang menipu diri. Malaysia bukan hanya empat negeri. Pas lupa jalan ke Putrajaya memerlukan sokongan rakyat majmuk. Parti yang gagal melintasi sempadan perkauman dan agama akan kekal sebagai parti wilayah – besar dalam kubu sendiri, tetapi kecil di mata rakyat Malaysia.
Keangkuhan Pas lebih jelas bila mereka meletakkan parti melebihi gabungan. Dengan mendesak untuk mengguna logo sendiri, Pas menghantar mesej semangat perpaduan dalam PN tidak penting. Mereka mahu tonjolkan jenama sendiri, bukannya lambang kesatuan. Sedangkan, nama PN itu yang telah ‘ditunggang’ Pas untuk menjadi parti dominan hari ini. Tanpa gelombang biru PN yang dilihat lebih selamat dan kewibawaan pemimpin seperti Muhyiddin ketika itu, Pas tidak akan berjaya sebesar ini.
Ramai di atas pagar masih sangsi dan curiga dengan Pas, namun ditenangkan dengan kehadiran parti Melayu yang lebih moderat seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN. Kunci kekuatan undi dalam kalangan orang Melayu terletak pada formula gabungan parti Melayu dan parti Islam, dan bukan parti Islam sahaja.
Kita juga perlu ingat, Pas tidak pernah sampai ke politik arus perdana tanpa menumpang bahu orang lain. Dari Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, hinggalah kini PN, Pas naik kerana gabungan, bukan kerana kekuatannya yang tersendiri. Bila Pas berdegil untuk berdiri sendiri, mereka sedang mengulangi kesilapan lama – tamak, angkuh, akhirnya rugi.
PRU akan datang bukan soal logo tetapi soal siapa mampu satukan rakyat. Logo bulan mungkin memberi semangat di Kota Bharu atau Kuala Nerus tetapi ia tidak membawa banyak makna di Shah Alam, Gelang Patah atau Sandakan. Apa gunanya megah dengan bendera hijau, jika akhirnya hanya menjadi simbol parti yang gagal melangkah keluar dari bayang sendiri?
Keangkuhan politik ada harganya. Pas boleh terus berbangga dengan SG4 tetapi Putrajaya tidak akan pernah datang dengan sikap memencilkan diri. Malaysia lebih besar daripada kubu hijau. Dan selagi Pas tidak mahu berubah, selagi itulah mereka akan kekal jadi parti kenegerian dan berserban, bukan parti masa hadapan negara.-UTUSAN
DR. MOHD. SALAM MOHD. YATIM
Bangi, Selangor










