IMEJ provokatif, bahasa kasar, gaya samseng dan sikap kurang sopan semakin ketara dalam sidang Parlimen. Apa sebenarnya yang ingin ditonjolkan oleh ahli Parlimen? Ke manakah arah tuju negara ini jika mereka terus menjadikan Parlimen medan pertelingkahan tanpa noktah?
Rakyat memilih dengan harapan dan amanah, bukan sekadar untuk bersuara tetapi membawa perubahan serta kesejahteraan kepada negara. Gaji, elaun dan kemudahan yang dinikmati bukan datang dari langit, semuanya hasil titik peluh rakyat yang bekerja siang malam demi menyara kehidupan, sedangkan wakil rakyat pula bergantung kepada ‘air liur’ dalam dewan tetapi tetap menerima imbuhan besar setiap bulan.
Sebagai wakil rakyat, mereka adalah cerminan kepada corak kehidupan masyarakat. Jika gaya pertuturan seperti menengking, menjerit dan mencabar seolah-olah mahu bergaduh, maka itulah tanggapan dunia luar terhadap rakyat negara ini.
Lihatlah Indonesia. Mereka berbeza ideologi dan bersaing hebat ketika pilihan raya tetapi selepas keputusan diumumkan, parti yang menang diberi laluan untuk mentadbir. Parti pembangkang pula berperanan sebagai semak dan imbang tanpa menggugat kestabilan negara secara berterusan. Mereka hanya kembali berentap apabila tiba pilihan raya seterusnya.
Namun di Malaysia, perbalahan tidak pernah surut yang menang mahupun kalah sama-sama terus berbalah.
Rakyat mahukan keamanan dan kestabilan untuk terus mencari rezeki. Mereka bergantung kepada tulang empat kerat, bukan retorik politik yang tiada kesudahan. Oleh itu, gunakanlah masa persidangan sebaiknya untuk membincangkan isu rakyat, dasar pembangunan dan hala tuju negara.
Tidakkah merasa malu apabila Speaker terpaksa menegur dengan kata-kata seperti “dah tua semuanya”?
Negara ini milik bersama. Amanah rakyat adalah tanggungjawab yang perlu dipikul dengan rasa hormat, bukan dibalas dengan drama dan sandiwara yang memalukan.-UTUSAN
ZABIDI ZAKARIAH
Perak










