Memperkasa Malaysia melalui keusahawanan sosial

Memperkasa Malaysia melalui keusahawanan sosial

KEUSAHAWANAN sosial membuka ruang untuk mereka melontarkan idea baharu, mengasah bakat serta mencipta impak positif tanpa terikat dengan birokrasi.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berada di persimpangan penting dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi yang inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.

Dalam perjalanan ini, keusahawanan sosial wajar diberikan perhatian sebagai pemacu baharu pembangunan.

Selama ini, masyarakat sering menganggap subsidi kerajaan dan bantuan kewangan sebagai tonggak utama kesejahteraan. Walaupun ia tetap penting, keusahawanan sosial mampu menjadi pelengkap yang lebih dinamik, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Hakikatnya, tidak semua masalah sosial dapat ditangani sepenuhnya oleh dasar kerajaan mahupun mekanisme pasaran. Masih terdapat komuniti luar bandar, miskin bandar dan sektor tidak formal yang ketinggalan daripada arus pembangunan. Di sinilah keusahawanan sosial berperanan, menawarkan penyelesaian inovatif yang bersifat setempat dan lestari.

Contoh kejayaan tempatan dapat dilihat melalui Grub Cycle yang mengurangkan pembaziran makanan dengan menjual barangan runcit lebihan pada harga murah, sekali gus membantu keluarga berpendapatan rendah.

EPIC Homes pula membina rumah untuk golongan miskin melalui sumbangan orang ramai dan penglibatan sukarelawan. Inisiatif sebegini membuktikan perniagaan boleh dijalankan bukan sekadar untuk keuntungan tetapi juga memperkasa masyarakat serta menjaga kelestarian alam sekitar.

Namun, keusahawanan sosial bukanlah pengganti kepada inisiatif kerajaan seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) atau Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Ia wajar dilihat sebagai pelengkap strategik iaitu bantuan kerajaan memenuhi keperluan segera, manakala perusahaan sosial menyediakan sokongan jangka panjang dalam bentuk latihan kemahiran, pembangunan digital dan kesihatan mental.

Golongan belia memainkan peranan penting dalam usaha ini. Dengan celik teknologi dan keprihatinan terhadap isu sosial serta alam sekitar, mereka semakin mencari cara untuk menyumbang secara bermakna.

Keusahawanan sosial membuka ruang untuk mereka melontarkan idea baharu, mengasah bakat serta mencipta impak positif tanpa terikat dengan birokrasi.

Bagi memastikan kelangsungan, ekosistem kondusif perlu diwujudkan dengan akses dana permulaan, mentor berpengalaman, latihan perniagaan dan dasar jelas.

Institusi pendidikan tinggi (IPT) boleh memperkenalkan modul impak sosial manakala syarikat korporat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyediakan peluang praktikal.

Kerajaan juga boleh menubuhkan dana khusus seperti Dana Inovasi Sosial Madani yang menumpukan projek luar bandar dan kelompok B40, agar komuniti dapat mencari jalan keluar sendiri daripada kemiskinan.

Pengalaman negara serantau memberi panduan berharga. Thailand mempunyai Akta Promosi Perusahaan Sosial, Filipina menyediakan dana mikro P3, manakala Singapura menubuhkan raiSE untuk latihan dan akses pasaran. Semua ini membuktikan kerjasama kerajaan dan pengusaha sosial mampu melahirkan hasil yang mampan.

Dalam konteks Malaysia, sektor kritikal seperti pertanian dan makanan asas amat sesuai diterokai. Keusahawanan sosial dalam bidang ini bukan sahaja mengurangkan import tetapi juga membuka peluang pekerjaan luar bandar serta memperkukuh ekonomi tempatan.

Akhirnya, ketelusan perlu diperkasa melalui garis panduan yang jelas, pelaporan telus dan pengukuran impak seperti Pulangan Sosial atas Pelaburan (SROI).

Teknologi digital boleh membantu menilai keberkesanan projek secara masa nyata, memastikan dana dimanfaatkan sepenuhnya.

Menghadapi cabaran masa hadapan dengan penuaan penduduk, perubahan iklim dan transformasi digital, usahawan sosial akan menjadi barisan hadapan yang pantas mencetus idea baharu. Jelaslah, keusahawanan sosial bukan sekadar trend tetapi aset strategik untuk membina Malaysia yang lebih adil, inklusif dan lestari.-UTUSAN

DR. HASROLEFFENDY HASSAN
Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×