Lima spesies ikan pilihan rakyat

Lima spesies ikan pilihan rakyat

PERKUKUH langkah pemuliharaan, kawalan pendaratan dan perlindungan habitat bagi memastikan bekalan ikan segar terjamin demi menyokong keterjaminan makanan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STATISTIK pendaratan tahun 2024 menunjukkan ikan selayang, pelaling, kembung, kerisi dan gelama merupakan antara spesies yang paling banyak didaratkan di Malaysia, sekali gus menggambarkan kedudukannya sebagai ikan pilihan rakyat. Data ini menegaskan kepentingan ikan sebagai sumber protein utama rakyat Malaysia, selain peranannya dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

Daripada jumlah tersebut, ikan selayang/cerut merekodkan 94,234 tan metrik, diikuti ikan pelaling/temenong (79,685 tan metrik), ikan kembung (46,438 tan metrik), ikan kerisi (38,162 tan metrik) dan ikan gelama (32,332 tan metrik). Spesies lain seperti sotong biasa, tongkol dan cencaru turut mencatatkan angka pendaratan yang signifikan pada tahun yang sama.

Walaupun statistik menunjukkan selayang dan pelaling mendominasi pendaratan, citarasa rakyat Malaysia tetap cenderung kepada spesies seperti kembung, siakap, bawal, cencaru dan pelaling yang kekal menjadi pilihan utama di meja makan isi rumah. Spesies-spesies ini digemari kerana mudah diperoleh, serbaguna dalam masakan dan mempunyai nilai pemakanan yang tinggi.

Ikan seperti kembung, pelaling, bawal, siakap dan cencaru kekal menjadi kegemaran rakyat Malaysia, sama ada dilihat daripada jumlah pendaratan mahupun kecenderungan selera pengguna.

Ikan-ikan ini kekal menjadi pilihan rakyat kerana mudah diperoleh serta sentiasa tersedia di pasaran hasil pengurusan sumber yang mampan.

Jabatan Perikanan akan terus memperkukuh langkah pemuliharaan, kawalan pendaratan dan perlindungan habitat bagi memastikan bekalan ikan segar terjamin demi menyokong keterjaminan makanan negara.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk pemasangan tukun tiruan, pengurusan zon penangkapan serta penguatkuasaan undang-undang perikanan.

Usaha ini penting bagi menyeimbangkan permintaan pasaran dengan pemuliharaan sumber marin, agar ikan kegemaran rakyat kekal tersedia. Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, pencapaian ini juga membuktikan bekalan ikan segar negara berada pada tahap yang mencukupi untuk menyokong keterjaminan makanan rakyat.-UTUSAN

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perikanan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×