USAHA yang pihak kerajaan memansuhkan jenayah cubaan bunuh diri dalam negara perlu mendapat sokongan dari semua pihak. Ini akan menggalakkan mereka yang terjejas untuk tampil mendapatkan bantuan serta menghapuskan stigma negatif dan tanggapan buruk orang ramai terhadap cubaan membunuh diri.
Cubaan membunuh diri adalah isu yang serius yang kompleks dan sensitif. Ia perlu diselesaikan melalui cara yang sesuai dan profesional. Isu cubaan bunuh diri tidak boleh diselesaikan melalui peruntukan undang–undang serta melalui hukuman keras terhadap diri individu yang terlibat.
Individu yang terlibat memerlukan bantuan dari golongan pakar dan profesional bagi menerima bantuan bukannya didakwa dan dihukum dibawah mana–mana peruntukan undang–undang.
Perlu diketahui, sebarang usaha atau percubaan untuk membunuh diri adalah tanda isyarat jelas dari pihak pelaku untuk memohon pertolongan bukannya meminta untuk dihukum atau didenda.
Oleh yang demikian, langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk meminda peruntukan undang–undang sedia ada dalam negara mengenai isu cubaan bunuh diri ini perlu mendapat sokongan dari semua pihak.
Pada masa sama juga, semua pihak perlu memainkan peranan masing–masing bagi membantu mana–mana pihak yang didapati memerlukan bantuan.
Terdapat banyak saluran agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menghulurkan bantuan segera terhadap mana–mana individu yang menghadapi masalah seperti Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03–2935 9935 atau 014–322 3392); Talian Kasih (15999 atau 019–261 5999 melalui WhatsApp);Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jakim (011-1959 8214 melalui WhatsApp) dan Persatuan Befrienders, Kuala Lumpur (03 –7627 2929).-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










