Buli: Barah sosial yang merosakkan generasi kini

Buli: Barah sosial yang merosakkan generasi kini

SETIAP pelajar berhak merasa selamat di sekolah dengan persekitaran pembelajaran yang bebas buli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buli merupakan jenayah sosial yang semkain membarah dalam lingkungan masyarakat kini. Perbuatan ini bukan sekadar isu disipilin, malah jenayah yang mampu mengancam kesejahteraan mental, fizikal dan sosial mangsa.

Di sekolah, buli menjadi satu bentuk keganasan yang membunuh potensi pelajar, merosakkan hubungan sosial dan mengancam keselamatan institusi pendidikan. Bukankah sekolah dilihat sebagai sebuah ruang sosial yang selamat untuk semua pihak?

Bagi mereka yang pernah tinggal di asrama, buli sering dianggap sebagai radisi yang diamalkan pelajar senior terhadap pelajar junior. Alasan yang digunakan untuk mempertahankan amalan ini kebanyakannya tidak logik dan tidak rasional.

Buli wujud dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, lisan, sosial atau siber dan setiap bentuknya memberi kesan negatif terhadap emosi, mental, serta perkembangan individu yang menjadi mangsa.

Dalam era kemajuan teknologi digital, buli siber menjadi perbuatan norma masyarakat untuk memalukan atau menyebarkan maklumat palsu tentang mangsa kepada khayalak ramai.

Justeru, institusi pendidikan wajar memainkan peranannya sebagai sebuah ruang sosial yang membantu melindungi pelajar daripada jenayah buli.

Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan 6,208 kes buli melibatkan pelajar sekolah sehingga Oktober 2024 melalui sistem Sahsiah Diri Murid (SDM). Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, menyatakan jumlah ini menurun berbanding 6,528 kes pada 2023, namun masih lebih tinggi berbanding 3,883 kes yang dicatatkan pada 2022.

Statistik ini jelas menunjukkan jenayah buli sudah lama berakar umbi dalam sistem pendidikan negara. Sekolah, sebagai tunjang pembentukan sahsiah pelajar mestilah memainkan peranan yang signifikan dalam membendung gejala buli ini.

Pendekatan ‘anda sentuh anda pergi’ yang ditekankan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mungkin berkesan menyelesaikan masalah di sekolah tertentu, namun secara tidak langsung membebankan sekolah lain yang terpaksa menerima pelajar pembuli yang telah ditukar atau dibuang.

Buli bukanlah masalah kecil yang boleh dipandang ringan. Ia merupakan barah sosial yang menghakis nilai kemanusiaan dan membantutkan pembangunan generasi muda kini. Jika tidak dibendung, ia berisiko menular lebih luas dan mencetuskan budaya ganas dalam masyarakat.

Tindakan pencegahan, penguatkuasaan dan pendidikan moral yang berkesan adalah kunci bagi memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat, kondusif dan membina masa hadapan yang lebih baik untuk semua pelajar.-UTUSAN

MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan
dengan Kepujian, Pusat Pengajian Bahasa,
Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×