DARIPADA adiwira Marvel hingga idola K-pop, dunia TikTok hingga animasi Jepun, budaya pop membanjiri kehidupan moden. Hanya dengan satu sentuhan skrin, kita menyelami dunia fiksyen, mengikuti perkembangan selebriti dan menyertai komuniti global.
Namun di sebalik hiburan visual, budaya pop adalah fenomena kompleks yang berkait rapat dengan psikologi, emosi dan kefahaman manusia.
Budaya pop berfungsi sebagai cermin nilai dan identiti, sama ada individu atau kolektif. Filem, muzik, dan personaliti sosial yang kita ikuti sering mencerminkan aspirasi dan emosi diri. Kajian menunjukkan peminat K-pop mengalami kesan psikososial positif, termasuk kebahagiaan, harga diri dan hubungan sosial (Laffan, 2020).
Bagi remaja, budaya pop memberi ruang ekspresi diri, sama ada melalui gaya fesyen, bahasa atau pengumpulan memorabilia. Watak drama atau lirik lagu sering menyentuh konflik dalaman, manakala selebriti menjadi sumber inspirasi untuk membina keyakinan dan personaliti.
Antara kesan psikologi ketara ialah kewujudan komuniti peminat atau fandom. Sama ada peminat filem, muzik atau permainan video, mereka berhimpun dalam talian atau fizikal untuk berkongsi minat sama. Kajian juga menunjukkan muzik berperanan dalam regulasi emosi remaja dan kesejahteraan psikologi (Saarikallio, 2010).
Komuniti ini memberi ruang selamat untuk bersosial, menghasilkan karya seni, menganjurkan acara atau kerja amal. Dengan media sosial, hubungan merentasi sempadan bahasa dan negara. Minat peribadi akhirnya berkembang menjadi pengalaman global yang menghubungkan jutaan manusia.
Fenomena hubungan parasosial ikatan emosi sehala dengan selebriti, pempengaruh, atau watak fiksyen juga memberi kesan besar. Walaupun tidak bersifat dua hala, hubungan ini tetap memberi motivasi, rasa selesa dan kestabilan emosi.
Contohnya, peminat berpakaian seperti watak kegemaran di konvensyen komik bukan sahaja mengekspresikan diri, malah mengukuhkan komunikasi parasosial. Namun, keterikatan berlebihan boleh mengganggu hubungan sosial sebenar, maka keseimbangan perlu dijaga.
Budaya pop juga menjadi mekanisme mengawal emosi. Menonton komedi selepas bekerja, mendengar lagu sedih ketika patah hati atau menonton siri lama untuk nostalgia adalah cara menstabilkan perasaan. Mengumpul memori juga membangkitkan kenangan masa kecil.
Semasa pandemik Covid-19, budaya pop memainkan peranan terapeutik, menjadi penawar kesunyian dan kegelisahan. Ia membantu individu mengurus tekanan melalu ‘pelarian’ mental daripada rutin membosankan (Educalingo, 2022).
Memahami psikologi di sebalik budaya pop membolehkan kita menggunakannya secara lebih seimbang. Kesedaran ini memberi kuasa untuk memilih kandungan yang selari dengan nilai dan kesejahteraan diri. Golongan pendidik, ibu bapa serta profesional kesihatan mental boleh memanfaatkan daya tarikannya untuk mendidik, menyebar nilai positif dan meningkatkan kesedaran emosi.
Budaya pop bukan sekadar hiburan. Ia membentuk identiti, memproses emosi, membina komuniti dan menghasilkan makna kehidupan. Fenomena fandom memperkukuh rasa memiliki manakala hubungan parasosial memberi motivasi dan kestabilan emosi. Pada masa sama, ia berperanan sebagai mekanisme kawalan tekanan.
Konsumsi budaya pop yang sedar penting agar manfaatnya dimaksimumkan untuk kesejahteraan diri, di samping menjadi alat pendidikan, komunikasi dan pembinaan komuniti global yang sihat.-UTUSAN
DR. MOHD. ZULFAKAR MOHD. NAWI & LIYANA SHAMIMI MOHAMED KAMIL
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) & BERJAYA University College (BUC)










