HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menggesa kerajaan menolak Deklarasi New York mengenai Penyelesaian Aman Persoalan Palestin yang tidak adil dan berat sebelah.
Deklarasi yang dikeluarkan pada 30 Julai lalu dan disokong oleh Perancis, Arab Saudi, Liga Arab, Kesatuan Eropah serta 17 negara lain mengandungi beberapa kelemahan serius.
Pertama, deklarasi ini secara selektif mengutuk Hamas tanpa mengiktiraf hak rakyat Palestin menentang penjajahan menurut undang-undang antarabangsa, sambil mengabaikan 76 tahun pendudukan haram Israel.
Kedua, ia gagal mengklasifikasikan tindakan Israel sebagai pembunuhan beramai-ramai. Lebih 60,785 rakyat Palestin terutamanya wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa.
Ketiga, penyelesaian dua negara yang dicadangkan hanyalah ilusi memandangkan Israel terus meluaskan penempatan haram di Tebing Barat.
Keempat, pengiktirafan terhadap Pihak Berkuasa Palestin yang korup dan autoritarian tidak realistik memandangkan rekod buruk mereka dalam melindungi rakyat Palestin.
Berdasarkan analisis ini, HIKAM menyarankan agar kerajaan Malaysia:
– Menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap deklarasi tidak adil ini.
– Mendesak gencatan senjata kekal serta laluan tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan.
– Menyokong proses keadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap jenayah perang Israel.
– Menggalakkan kempen memboikot, pelupusan dan sekatan (BDS) terhadap entiti yang menyokong Israel.
– Meneruskan usaha pendidikan dan diplomasi mengenai isu Palestin di peringkat negara dan global.
Malaysia mesti berdiri teguh dengan prinsip keadilan dan tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa untuk menyokong resolusi yang tidak seimbang.-UTUSAN
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)











