KUMPULAN penjawat awam menjadi tonggak penting terhadap sistem pentadbiran dan pemerintahan negara. Pelbagai peranan dimainkan oleh penjawat awam membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar negara yang digariskan di samping memberikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat secara holistik.
Walaupun menjalankan amanah dengan berkhidmat untuk kerajaan, dalam masa sama penjawat awam mestilah mempunyai nilai patriotisme dalam diri. Asas nilai murni dan jati diri yang kukuh perlu wujud dalam diri. Melalui asas nilai sebegini, semangat rasa cintakan tanah air yang merangkumi kesetiaan, keikhlasan dan rela berkorban demi kepentingan negara dapat diterjemahkan melalui komitmen terhadap tugasan.
Rentetan penulisan buku Muhammad Ali Embi (2009), kecintaan terhadap negara bukan sekadar ungkapan di bibir semata-mata atau bersifat simbolik dengan mengibarkan Jalur Gemilang atau menghormati pemimpin, namun dapat diterjemahkan melalui pelbagai cara. Pembahagian konsep patriotisme menerusi pelbagai aspek iaitu ikonoklastik, simbolik, kapitalistik, alam sekitar secara naluri dan simbolik yang nasionalistik dapat diinspirasikan bagi menyuburkan semangat patriotik dalam erti kata ringkas dan mudah untuk difahami.
Semangat patriotisme menjadi elemen penting untuk berganding bahu dengan pihak kerajaan agar setanding dan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara luar. Malaysia juga mampu mencapai kadar patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyatnya sama seperti negara luar.
Berdasarkan kepada statistik Negera Paling Patriotik 2025, Amerika Syarikat (AS) mendahului negara lain dengan kadar 41 peratus. Berdasarkan statistik ini, Malaysia tidak terkecuali tersenarai di antara negara paling patriotik menerusi kedudukan di tangga ke-10 dengan kadar 11 peratus.
Walaupun agak sukar untuk mencapai peratusan kedudukan yang tinggi dalam statistik negara paling patriotik di peringkat dunia, namun rakyat Malaysia khususnya penjawat awam boleh menggunakan pelbagai pendekatan untuk memastikan penyuburan semangat patriotisme sentiasa berterusan. Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 yang menggariskan pembudayaan amalan patriotisme dan taat setia penjawat awam haruslah diberi penekanan bagi menyuburkan dan sekali gus membentuk penjawat awam yang berjiwa patriotik setia kepada negara dan berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara.
Elemen pembudayaan patriotisme tidak boleh diperlekeh dan dipandang ringan. Penglibatan penjawat awam yang dinamik terhadap aspek patriotisme perlu diberi perhatian sewajarnya dalam usaha meningkatkan mutu pencapaian perkhidmatan kepada masyarakat. –UTUSAN
DR. NUR AISHAH ZAINAL
Pegawai Perhubungan Awam
Kementerian Pendidikan Tinggi
Kolej Komuniti Jasin Melaka










