Tanah penentu masa hadapan makanan negara

Tanah penentu masa hadapan makanan negara

AMALAN pengurusan tanah lestari memainkan peranan penting dan strategi utama untuk menjamin kestabilan sistem makanan dan kelangsungan hidup rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH adalah asas keterjaminan makanan dan pertahanan negara terhadap kesan perubahan cuaca. Setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan tanah terus dipelihara melalui amalan lestari.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO), krisis kesihatan tanah semakin menjadi isu global yang mendesak. Berikut ialah 10 fakta penting mengenai tanah yang perlu difahami oleh rakyat Malaysia:

1. 95 peratus makanan bergantung kepada tanah
Tanah yang sihat membekalkan nutrien, air, oksigen serta sokongan fizikal kepada akar tanaman. Ia juga melindungi akar daripada perubahan suhu yang mendadak, sekali gus menyumbang kepada kestabilan hasil pertanian.

2. Satu pertiga tanah di dunia merosot kualitinya
Sebanyak 33 peratus tanah dunia mengalami degradasi akibat hakisan, pencemaran dan amalan pertanian yang tidak mampan. Ini mengurangkan keupayaan tanah untuk menyokong pertumbuhan tanaman dan mengancam keterjaminan makanan.

3. Tanah terbentuk sangat perlahan
Pembentukan dua hingga tiga sentimeter tanah boleh mengambil masa sehingga 1,000 tahun. Oleh itu, tanah merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui dalam tempoh hayat manusia dan perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab.

4. Tanah membekalkan 15 daripada 18 unsur nutrien penting untuk tumbuhan
Antara unsur tersebut termasuk nitrogen, fosforus dan kalium yang sangat penting untuk proses tumbesaran, fotosintesis dan pembentukan protein dalam tumbuhan. Kesuburan tanah dan pengurusan yang berkesan adalah kritikal untuk memastikan tanah dapat terus menyediakan nutrien-nutrien ini.

5. Satu sudu tanah mengandungi lebih banyak organisma hidup daripada jumlah manusia di bumi
Mikroorganisma memainkan peranan penting dalam memastikan kesuburan dan keseimbangan ekosistem tanah.

6. Kandungan vitamin dan nutrien dalam makanan menurun dalam 70 tahun terakhir
Amalan pertanian moden yang menumpukan kepada kuantiti dan ketahanan tanaman menurunkan kandungan nutrisi dalam hasil tanaman. Ini memberi kesan langsung terhadap kesihatan manusia kerana nutrien dalam makanan penting untuk kesejahteraan dan pencegahan penyakit.
Penggunaan berlebihan baja kimia dan racun perosak mengakibatkan tanah menjadi kurang subur, sekali gus mengurangkan kandungan nutrien yang boleh diserap oleh tanaman.

7. 2 bilion penduduk dunia alami kekurangan mikronutrien (kelaparan tersembunyi)
Kekurangan zat atau dikenali sebagai kelaparan tersembunyi seperti zat besi, vitamin A dan zink memberi kesan kepada kesihatan, terutama dalam kalangan wanita hamil dan kanak-kanak.

Kelaparan tersembunyi sering tidak disedari kerana tanda-tandanya kurang jelas berbanding kekurangan makanan yang ketara. Namun, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti anemia, rabun dan penurunan sistem imun. Tanah yang sihat menyumbang kepada tanaman yang lebih berkhasiat.

8. Pengeluaran makanan perlu meningkat 60 peratus menjelang 2050
Pertumbuhan populasi yang pesat, perubahan diet dan peningkatan pendapatan adalah faktor utama yang mendorong peningkatan permintaan makanan.

Peningkatan ini perlu dicapai tanpa menambah tekanan kepada tanah dan sumber air yang terhad. Maka, amalan pertanian mampan menjadi semakin penting.-UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. ROSAZLIN ABDULLAH
Pensyarah Fakulti Sains, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN