SEJARAH moden Amerika Syarikat (AS) menyaksikan penghijrahan besar-besaran penduduk dari Asia ke negara itu, menjadikan masyarakat AS semakin rencam. Akibatnya, muncul dasar diskriminasi dan segregasi secara sistematik terhadap orang kulit hitam dan Asia, seperti dalam dasar apartheid.
Walaupun diskriminasi dan segregasi berasaskan warna kulit telah berakhir, muncul pula diskriminasi berasaskan agama. Agama Islam dijadikan sasaran diskriminasi ini melalui kempen propaganda Islamofobia, khususnya selepas peristiwa 11 September (9/11). Walaupun propaganda ini tersebar luas, sikap keterbukaan rakyat AS tetap terserlah melalui penglibatan mereka dalam politik, contohnya ketika mengundi Presiden dan Datuk Bandar.
Barack Obama ialah Presiden AS pertama yang berkulit hitam. Keterbukaan masyarakat kulit putih di AS turut terbukti apabila Obama sekali lagi memenangi pilihan raya umum dan dilantik semula sebagai Presiden untuk penggal kedua pada 2013. Namun, keterbukaan rakyat AS ini mula dipersoalkan apabila Donald Trump dipilih sebagai Presiden pada 2017. Moto ‘Make America Great Again’ yang dilaungkan membakar semangat penduduk kulit putih berasaskan fahaman ‘white supremacy’.
Diskriminasi terhadap umat Islam turut terserlah dalam dasar luar Trump apabila beliau menyekat kemasukan penduduk dari beberapa negara Islam. Namun begitu, di peringkat nasional, ramai rakyat AS tidak bersetuju dengan dasar tersebut. Begitu juga halnya dengan diskriminasi terhadap imigran dari negara Asia dan Amerika Selatan.
Keterbukaan rakyat AS terserlah sekali lagi semasa pemilihan calon utama Datuk Bandar New York yang dijangka diadakan pada 4 November ini. Keputusan pemilihan calon itu mengejutkan banyak pihak, terutama sekali Trump kerana Zorhan Mamdani yang merupakan seorang Muslim dipilih sebagai calon utama.
Di sebalik wujudnya propaganda Islamofobia, sikap terbuka rakyat AS tidak lagi berasaskan propaganda semata-mata. Sebaliknya, pendirian mereka kini bertunjangkan realiti dan situasi semasa, khususnya berkaitan sokongan terbuka kerajaan AS terhadap serangan Israel ke atas Palestin.
Kita dapat memahami keterbukaan rakyat AS pada hari ini berkait rapat dengan perkembangan semasa. Sikap mereka yang kian terbuka dan menjauhi diskriminasi kaum serta agama jelas terpamer dalam pemilihan calon utama Datuk Bandar New York. Keadaan ini menunjukkan tingkah laku dan tindakan kerajaan AS sebenarnya tidak menggambarkan sikap keseluruhan rakyatnya. Selain itu, kematangan rakyat AS turut memainkan peranan dalam menyuburkan sikap keterbukaan tersebut. -UTUSAN
DR. ASZLAN SELAMAT
Pensyarah Kanan
Unit Sejarah Dan Kenegaraan Malaysia
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun Dan Falsafah
Universiti Utara Malaysia (UUM)










