S-Line: Fenomena FOMO yang membimbangkan

S-Line: Fenomena FOMO yang membimbangkan

FENOMENA takut ketinggalan (FOMO) menjadi antara tekanan sosial terbesar era digital. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DRAMA Korea terbaharu, S‑Line memperkenalkan elemen visual simbolik garisan merah di atas kepala individu yang pernah mempunyai hubungan seksual. Semakin banyak garisan merah, bermaksud mereka melakukan banyak hubungan seksual. Garisan ini hanya dapat dilihat oleh watak utama dengan bantuan cermin mata khas.

Idea ini membawa mesej sosial yang berat, berkait soal rahsia peribadi, maruah dan tekanan emosi dalam masyarakat moden. Namun, di Malaysia, trend ini telah disalah tafsir. Ramai remaja mula melukis garisan merah di atas kepala di dalam gambar, kononnya untuk mengikuti gaya K‑Drama, tanpa menyedari makna tersiratnya.

Lebih malang, ada yang mengikuti trend ni kerana merasa perasaan bimbang atau gelisah apabila mereka merasakan dirinya tertinggal daripada pengalaman, aktiviti atau maklumat yang dinikmati oleh orang lain.

Fenomena takut ketinggalan (FOMO) menjadi antara tekanan sosial terbesar era digital. Dalam dunia yang sentiasa terhubung, rasa takut ketinggalan menyebabkan seseorang bertindak tanpa berfikir panjang.

FOMO melibatkan bahagian otak seperti amigdala dan prefrontal cortex, yang memainkan peranan dalam pemprosesan emosi dan kawalan tingkah laku. Apabila seseorang melihat orang lain melakukan sesuatu yang menyeronokkan, amigdala menghantar isyarat ‘ancaman sosial’ menyatakan kita mungkin ditolak atau tercicir jika tidak turut serta.

Isyarat ini boleh mengatasi pemikiran rasional, mendorong kepada tindakan impulsif seperti menyertai cabaran tular, membeli barangan tidak perlu atau berkongsi kandungan yang menjatuhkan maruah sendiri semata-mata kerana takut ketinggalan. Dalam jangka masa panjang, FOMO yang tidak dikawal boleh menjejaskan kesihatan mental, termasuk gangguan tidur, keresahan dan kemurungan ringan.

Untuk mengawal kesan negatif ini, pendekatan menyeluruh perlu diambil, terutamanya dalam kalangan remaja yang mudah terdedah kepada pengaruh media sosial. Langkah pertama adalah dengan memberi kefahaman yang betul, bukan sekadar melarang. Remaja harus dididik tentang maksud sebenar kandungan yang mereka tonton atau kongsi di media sosial. Pembincangan terbuka antara ibu bapa, guru dan anak-anak sangat penting bagi membentuk pemikiran lebih kritis. Larangan tanpa penjelasan hanya mendorong mereka untuk mencari jawapan di tempat yang salah, sering kali daripada rakan sebaya atau sumber tidak sahih.

Selain itu, mereka perlu belajar untuk menghargai diri sendiri bukan berdasarkan bilangan tanda suka atau penampilan luaran semata-mata tetapi atas asas pencapaian, akhlak dan nilai murni.

Dengan kekuatan dalaman yang utuh, remaja akan lebih yakin dengan identiti mereka dan tidak mudah terikut-ikut dengan gaya hidup yang tidak sesuai.

Seterusnya, keseimbangan dalam penggunaan teknologi juga perlu diwujudkan. Kawalan masa skrin adalah langkah asas yang sangat berkesan. Ibu bapa dan pendidik boleh memainkan peranan dengan menggalakkan remaja untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal, seni, kesukarelawanan atau interaksi sosial secara langsung.

Trend akan datang dan pergi. Apabila kita terlalu mengejar keterlihatan sehingga menggadaikan prinsip, maruah dan akal sihat, itulah petanda FOMO sedang mengawal kita.-UTUSAN

DR. MOHAMAD HALIM  MOHAMAD SHARIFF
Pensyarah kanan (Neurosaintis) Fakulti Sains
Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN