LANGKAH kerajaan menyegerakan pengisian lebih 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan terutama doktor kontrak sebelum akhir tahun ini disambut baik ribuan pekerja kesihatan negara ini. Namun bagi sesetengah pihak, ia masih dianggap sebagai penyelesaian bersifat sementara dan jangka pendek serta mengharapkan lebih banyak pengumuman menerusi Bajet 2026 nanti.
Wujud kebimbangan berhubung dakwaan hospital negara jiran, Singapura yang menawarkan gaji permulaan sebanyak SGD110,000 setahun (kira-kira RM385,000) bagi menarik doktor dari Malaysia untuk berkhidmat di republik itu. Ia bukanlah sesuatu yang baharu malah menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon perkara tersebut sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Meskipun Singapura diketahui sudah lama merekrut tenaga kerja kesihatan dari Malaysia, usaha mereka kini semakin agresif dipercayai akibat peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di negara itu.
Baru-baru ini, Hartal Doktor Kontrak memuat naik satu hantaran mengandungi iklan promosi sesi temu duga pegawai dan profesional perubatan yang dijadualkan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Ia menimbulkan kebimbangan ramai kerana pelbagai pakej yang sangat menarik ditawarkan melalui promosi itu dikhuatiri bakal meningkatkan lagi kadar penghijrahan doktor dan profesional perubatan negara.
Gaji permulaan lumayan tidak termasuk elaun penginapan bulanan, insurans dan pelbagai manfaat menarik lain sudah pasti sukar ditolak para doktor serta graduan lepasan ijazah bidang perubatan yang berminat.
Difahamkan juga, semua graduan perubatan Malaysia dikatakan boleh memohon tanpa perlu melalui sebarang peperiksaan kelayakan seperti sebelum ini. Ini sudah tentu satu tawaran yang amat menarik terutamanya untuk doktor-doktor muda yang masih belum stabil dalam kerjaya mereka.
Justeru itu, bagi mengatasi isu ini, beberapa pihak turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penawaran gaji yang lebih baik selain beberapa skim galakan lain seperti penambahbaikan kadar elaun on-call, laluan kerjaya yang jelas dan terjamin, peluang menjalani latihan kepakaran dan sebagainya. Selain itu, isu beban kerja seperti waktu bekerja yang panjang dan persekitaran kerja kondusif juga perlu diambil perhatian.
Dalam pada itu, terdapat juga cadangan supaya kerajaan mengenakan peraturan atau syarat baharu dengan mewajibkan graduan perubatan tempatan terutamanya yang menerima tajaan kerajaan berkhidmat di sektor awam negara. Namun pendekatan tersebut kurang berkesan jika tidak disusuli dengan jaminan kerjaya yang kukuh dan ganjaran setimpal.
Sementara itu, penjelasan Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) komited menamatkan sistem pelantikan doktor secara kontrak yang dilaksanakan sejak 2016 adalah berita baik yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.
Sistem kontrak yang diperkenalkan lebih sedekad lalu sudah tidak relevan memandangkan jumlah graduan perubatan menurun secara drastik berbanding dahulu. Sistem tersebut pada asalnya hanya bersifat interim kerana diwujudkan bagi menangani lonjakan graduan perubatan berbanding kekosongan jawatan tetap yang terhad.
Desakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya KKM mempermudah proses birokrasi bagi mempercepat pengisian lebih 4,000 kekosongan perjawatan di sektor kesihatan membuktikan komitmen kukuh kerajaan dalam mengatasi keperluan mendesak terhadap sektor penjagaan kesihatan dalam negara.-UTUSAN
MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










