PASAR Malam Cenang di Langkawi banyak menjual pelbagai jenis makanan termasuk buah-buahan serta barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran. Tumpuan di Pasar Malam Cenang dalam kalangan pelancong asing sudah pastilah makanan tradisional yang menarik keinginan mereka untuk membeli dan menikmatinya.
Makanan tradisional yang dijual di Pasar Malam Cenang yang menjadi kegemaran pelancong asing adalah sate, ayam percik dan apam balik. Terdapat juga makanan tradisional lain seperti nasi kerabu dan nasi lemak. Ini menunjukkan pasar malam sebenarnya dapat menjadi medium atau platform mempromosikan makanan tradisional Malaysia dan secara tidak langsung dapat membantu peniaga seperti pengusaha atau pembuat makanan tradisional menjana pendapatan.
Pasar malam diuruskan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan masing- masing dan berfungsi bukan sahaja memberi peluang pekerjaan pada penduduk malah mereka dapat menjual produk pelbagai jenis termasuklah makanan.
Justeru itu, peluang mempromosi makanan tradisional di pasar-pasar malam wajar menjadi fokus utama dalam memperkenalkan makanan tradisional yang menjadi warisan negara. Meskipun mendapat saingan dengan makanan tular dan moden sama ada daripada pengaruh luar negara seperti kimchi, takoyaki, corndog, sushi, ramen dan banyak lagi, namun perhatian terhadap makanan tradisional jangan dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda.
Makanan tular yang moden berasaskan coklat dan keju tidak begitu menggambarkan warisan bangsa negara kita namun menunjukkan ciri dari budaya luar. Makanan tular dan moden tidak salah dijual di pasar malam tetapi elemen mempromosi makanan tradisional wajar diutamakan.
Hal ini untuk mengelakkan makanan tradisional tenggelam dimamah zaman jika makanan tular dan moden kini lebih mendapat tempat dalam kalangan pengusaha kerana lebih mendapat sambutan.
Oleh itu, pasar malam seperti Pasar Malam Cenang disaran memperbanyakkan pilihan makanan tradisional kerana ia berada di tempat strategik tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Selain makanan tradisional perlu juga mempromosikan buah-buahan tempatan.
Pelancong asing sangat teruja dengan buah nangka bersaiz agak besar kerana mereka mungkin belum pernah melihat buah tempatan ini. Pasar malam boleh mengambil kesempatan pada musim buah-bauahan untuk memperkenalkan buah tempatan kepada pelancong.
Justeru itu, sewajarnya pasar malam perlu diberi perhatian sebagai tempat untuk mempromosikan makanan tradisional dengan lebih komprehensif.
Antara yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan festival makanan tradisional sebagai inisiatif untuk perkenalkan makanan negara kita, namun pasar malam tetap menjadi platform yang paling sesuai kerana menjadi tempat ikonik untuk pelancong asing mencari dan mendapatkan makanan tradisional di satu tempat sahaja.
Maka kerajaan yang bertanggungjawab seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan wajar menyarankan PBT di setiap negeri untuk memeriahkan pasar malam dengan menjual makanan-makanan tradisional pelbagai jenis mengikut negeri sebagai jualan utama.-UTUSAN
JAZLIZA JAMALUDDIN
Pensyarah Kanan,
Unit Sejarah
dan Kenegaraan,
Pusat Pengajian
Bahasa, Tamadun dan Bahasa,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










