MASJID Zahir sering digambarkan sebagai permata seni bina Islam di Kedah.
Didirikan secara rasmi pada 1912, masjid ini bukan sahaja menjadi mercu tanda Alor Setar, malah melambangkan warisan seni bina diraja yang tersohor.
Namun, berdasarkan catatan sejarah dan bukti fizikal, usia sebenar Masjid Zahir berkemungkinan jauh lebih tua, mungkin mencecah 300 tahun, seiring usia bandar Kota Setar yang dibuka pada 1735.
Kota Setar diasaskan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II pada 31 Disember 1735, apabila pusat pemerintahan Kedah dipindahkan dari Kota Bukit Pinang ke lokasi strategik baharu atas faktor keselamatan dan geografi.
Seiring pembangunan pusat pentadbiran ini, sebuah masjid diraja juga dibina bagi menyempurnakan fungsi agama dan kenegaraan. Lokasi masjid inilah yang menjadi tapak kepada Masjid Zahir hari ini.
Meskipun berlakunya gangguan politik dan ketenteraan khususnya campur tangan Bugis sekitar 1740-an dan serangan Siam antara 1821 hingga 1842, namun masjid negeri itu tetap menjadi nadi spiritual Kota Setar. Namun begitu, serangan Siam memusnahkan banyak struktur termasuk masjid utama
tersebut.
Selepas Perjanjian Bangkok 1909, Kedah berada di bawah pengaruh British. Sultan Abdul Hamid Halim Shah kemudian mengarahkan pembinaan semula masjid negeri yang lebih agung bagi menggantikan struktur lama yang diperbuat daripada kayu.
Arkitek British, James Gorman, ditugaskan mereka bentuk masjid tersebut berasaskan seni bina Mughal-India, terutamanya mengambil inspirasi daripada Masjid Azizi di Langkat, Sumatera.
Masjid Zahir siap dibina pada 1915 dengan sebuah kubah gunbadh, tiga anjung serambi, tiga kubah bawang, tiga chhatri dan sebuah menara Turki adalah gubahan klasik gaya senibina proto-konsep masjid Mughal-India di Kedah.
Gaya ini turut dikongsi oleh beberapa masjid kontemporari lain seperti Masjid Jamek Kuala Lumpur (1909), Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar (1913), dan Masjid Alwi di Kangar (1931).
Terdapat bukti menunjukkan tapak masjid ini didirikan di atas masjid yang lebih lama. Menurut beberapa catatan tempatan, struktur asal kayu masjid itu dialihkan ke Alor Merah, sejauh 6 kilometer (km) dari lokasi asal. Namun, binaan kayu tersebut tidak lagi wujud hari ini.
Di samping itu, kehadiran beduk lama di Masjid Zahir yang masih utuh menimbulkan persoalan: mungkinkah beduk itu berasal dari masjid asal sekitar 1735?
Jika benar Masjid Zahir merupakan kesinambungan fizikal dan spiritual kepada masjid awal yang dibina semasa pembukaan Kota Setar, maka tarikh 1912 hanya merujuk kepada pembinaan semula, bukan titik permulaan institusi keagamaannya.
Penulisan sejarah seni bina Masjid Zahir perlu diolah semula agar mencerminkan kesinambungan sejarah yang lebih jujur dan berlapis. Tidak wajar sebuah masjid diraja utama hanya dikatakan bermula selepas pembinaan sebuah Masjid India Muslim (Masjid Nagore, Alor Setar) yang dibina pada 1881 dan terletak hanya 600 meter di selatan (Masjid Zahir). Ini mencetuskan kejanggalan kronologi dari sudut logik sejarah urban dan keagamaan.
Pengiktirafan terhadap Masjid Zahir sebagai masjid negeri sejak 1915 perlu disusuli dengan pemahaman ia adalah warisan berterusan sejak abad ke-18. Justeru, usia Masjid Zahir dalam erti kesinambungan sejarah dan fungsi seharusnya diiktiraf sebagai sudah menjangkau 300 tahun, menjadikan ia sebagai masjid pertama dan tertua di Kedah.
DR. AHMAD SID HIJAZ MD. SAAID
Pensyarah Utama, Jabatan Kejuruteraan Awam,
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah










