Guru cemerlang aset pendidikan negara

Guru cemerlang aset pendidikan negara

PEMILIHAN dan pelantikan guru cemerlang hendaklah dilaksanakan secara telus dan berasaskan merit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Guru Cemerlang yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 1995 merupakan langkah strategik dalam usaha memperkasakan profesion perguruan.

Dalam tempoh hampir tiga dekad pelaksanaannya, program ini memberi impak besar kepada landskap pendidikan negara, khususnya dalam melahirkan pemimpin berkaliber tinggi dalam sistem pendidikan.

Kejayaan paling ketara apabila Dr. Mohd. Azam Ahmad, merupakan seorang yang pernah menyandang gelaran Guru Cemerlang dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan. Ia membuktikan program ini bukan sekadar bentuk pengiktirafan simbolik, bahkan menyediakan platform untuk bakat dan potensi guru dikembangkan hingga ke tahap tertinggi dalam hierarki pentadbiran pendidikan.

Lebih membanggakan, sejak pelaksanaan program ini, seramai empat orang Guru Cemerlang dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan – satu anugerah tertinggi dalam dunia pendidikan Malaysia. Mereka ialah Azizul Rahman Abdul Rahman (2016), Nawi Ismail (2019), Hamzah Othman (2021) dan Masariah Mispari (2024). Setiap daripada mereka memiliki kisah kejayaan tersendiri yang sarat dengan nilai perjuangan, dedikasi dan inovasi dalam bilik darjah.

Guru Cemerlang bukan sekadar mahir dalam aspek pedagogi, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membimbing rakan sejawat, membina jaringan profesional dan memberi sumbangan terhadap pembangunan kurikulum. Mereka menjadi rujukan bukan sahaja dalam hal-hal pengajaran, malah turut menyumbang idea dalam pelaksanaan dasar pendidikan yang relevan dan berpaksikan keperluan semasa murid serta masyarakat.

Lebih membanggakan, ramai guru cemerlang kini memegang jawatan penting di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga KPM. Ini membuktikan program ini mampu mengenal pasti individu yang bukan sahaja unggul di bilik darjah, malah mempunyai kapasiti kepimpinan dalam pengurusan pendidikan pada pelbagai peringkat.

Namun begitu, untuk memastikan kesinambungan kejayaan ini, pemilihan dan pelantikan guru cemerlang hendaklah dilaksanakan secara telus dan berasaskan merit. Proses penilaian perlu melihat secara menyeluruh aspek kualiti pengajaran, sumbangan kepada komuniti pendidikan serta potensi kepimpinan seseorang guru. Calon-calon perlu diberi ruang dan sokongan sewajarnya untuk membuktikan kebolehan melalui instrumen penilaian yang menyeluruh.

Peluang untuk menjadi guru cemerlang perlu diperluaskan kepada semua opsyen mata pelajaran dan bidang, termasuk pendidikan khas, pendidikan prasekolah dan bidang teknikal. Dengan cara ini, keberkesanan program ini dapat dirasai secara lebih menyeluruh.

Langkah melantik lebih ramai guru cemerlang juga akan memperkukuh budaya kolaboratif di sekolah. Guru-guru baharu dan yang masih dalam proses pembelajaran dapat menimba pengalaman dan kepakaran daripada rakan sejawat yang lebih berpengalaman. Secara tidak langsung, ini meningkatkan profesionalisme keguruan dan kualiti pengajaran secara menyeluruh.

Selain itu, KPM wajar mempertimbang semula skim ganjaran dan laluan kerjaya untuk guru cemerlang agar setimpal dengan sumbangan mereka. Ini termasuk peluang kenaikan pangkat, peluang pengajian lanjutan serta pendedahan antarabangsa dalam bidang pedagogi dan kepimpinan pendidikan. Pengiktirafan yang bersifat berterusan akan menjadi pendorong kepada guru-guru lain untuk berusaha mencapai tahap kecemerlangan yang sama.

Akhirnya, program ini harus dijadikan model pembangunan profesional berterusan yang dapat disesuaikan dengan keperluan semasa pendidikan abad ke-21.-UTUSAN

NOR AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×