Ekonomi Madani pacu kemakmuran

Ekonomi Madani pacu kemakmuran

EKONOMI Madani bukan sekadar slogan tetapi usaha menyeluruh yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan daya saing negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONOMI Madani semakin menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Dengan fokus jelas iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah sambil memperkukuh kedudukan kewangan negara melalui pelbagai langkah yang dilaksana kini mula membuahkan hasil.

Antara inisiatif yang memberi impak termasuklah kenaikan gaji minimum RM1,700 dan bantuan tunai RM100 secara sekali bayar menerusi Sumbangan Asas Ramah (SARA). Bantuan ini memberi ruang kewangan tambahan kepada berjuta rakyat Malaysia untuk menampung keperluan harian.

Penurunan harga RON95 dan pengurangan kadar tarif elektrik kepada 85 peratus pengguna domestik turut mengurangkan beban kos sara hidup. Di samping itu, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi subsidi tol dan RM600 juta untuk program Jualan Rahmah.

Selain itu, lebih 250,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan manakala adar pengangguran menurun kepada hanya 3 peratus.

Kerajaan juga menunjukkan komitmen terhadap pembangunan komuniti dan pendidikan melalui pelaksanaan Program Sekolah Angkat Madani dan Kampung Angkat Madani.

Bagi golongan B40 dan isi rumah berpendapatan rendah, mereka menjadi penerima manfaat utama daripada inisiatif ini. Sebanyak RM13 bilion diperuntukkan menerusi bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, manakala bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditingkatkan kepada RM2.9 bilion.

Usaha ini turut berjaya mengeluarkan 150,000 isi rumah daripada kelompok miskin tegar.

Bagi sektor pertanian pula, langkah menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 serta insentif getah kepada RM3 sekilogram memberikan impak kewangan besar kepada pesawah dan penoreh getah dalam golongan berpendapatan rendah. Ini membantu mengurangkan ketidaktentuan pendapatan dalam sektor tersebut.

Dalam bidang kesihatan, lebih 4,000 jawatan baharu diwujudkan dalam sektor awam bagi memastikan akses rakyat, terutamanya yang kurang berkemampuan, kepada perkhidmatan kesihatan.

Di peringkat makro, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025 direkodkan pada 4.4 peratus dan dijangka meningkat kepada 4.5 peratus pada suku kedua.

Pelaburan langsung dalam negara (FDI dan DDI) turut mencatat rekod tertinggi dalam sejarah negara berjumlah RM384 bilion pada 2024.

Nilai ringgit pula mengukuh sebanyak 5 peratus berbanding dolar Amerika dan kini berada pada paras RM4.23. Ini bukan sahaja meningkatkan kuasa beli rakyat di luar negara, malah menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik di rantau ini.

Kejayaan Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia jelas mencerminkan kemajuan pentadbiran ekonomi negara. Dengan kadar pengangguran terendah dalam lebih sedekad dan kadar inflasi hanya 1.1 peratus pada Jun 2025, Malaysia dilihat berjaya mengekalkan kestabilan ekonomi walaupun banyak negara lain masih bergelut dengan tekanan harga global.

Secara keseluruhannya, angka dan pencapaian ini menggambarkan Ekonomi Madani bukan sekadar slogan tetapi usaha menyeluruh yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan daya saing negara.-UTUSAN

DR. AHMAD SHAUQI MOHAMAD ZUBIR
Pensyarah kewangan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×