DI sebalik pagar tinggi dan jadual harian yang padat, kehidupan pelajar asrama sering terasing daripada realiti masyarakat luar. Sistem asrama sememangnya bertujuan membentuk disiplin dan fokus akademik, namun kekangan terhadap akses maklumat seperti akhbar, televisyen atau media digital menyebabkan ramai pelajar kurang peka terhadap isu semasa termasuk buli.
Ketiadaan pendedahan kepada laporan berita atau kisah benar tentang kesan buli menjadikan pelajar tidak menyedari betapa seriusnya perbuatan tersebut. Tanpa gambaran jelas tentang trauma mangsa, hukuman undang-undang atau kesedihan keluarga yang terlibat, buli mudah disalah anggap sebagai ‘gurauan’ atau ‘tradisi senioriti’.
Jurang maklumat ini amat membimbangkan. Masyarakat luar semakin terbuka membincangkan isu penderaan, jenayah juvana dan kempen antibuli, namun sebahagian pelajar asrama tidak pernah terdedah kepada perbincangan tersebut. Akibatnya, mereka gagal mengaitkan tingkah laku harian dengan risiko undang-undang.
Lebih memburukkan keadaan, pelajar juga tidak mendapat peluang memahami sudut pandang mangsa buli. Laporan berita sering memaparkan luahan emosi mangsa dan keluarga mereka, yang mampu menimbulkan empati dan kesedaran. Tanpa elemen ini, pelajar cenderung menyokong budaya senioriti dan melihat buli sebagai sebahagian daripada ‘proses pembelajaran’ tidak formal.
Sistem asrama yang terlalu tertutup sebenarnya membentuk ‘kepompong’ yang menyekat kematangan pemikiran. Disiplin memang penting tetapi tanpa pendedahan kepada dunia luar, pelajar berisiko membesar dengan pandangan sempit dan mudah mengulangi kesilapan sama.
Sebaliknya, pelajar yang membaca akhbar atau menonton berita mendapat pendedahan langsung kepada akibat buli seperti mangsa dimasukkan ke hospital, pelaku dibuang sekolah atau keluarga yang hancur. Maklumat seperti ini berfungsi sebagai benteng psikologi, membina kesedaran dan rasa takut untuk melakukan kesalahan sama.
Kesannya bukan hanya terhad kepada isu buli. Kurangnya maklumat tentang isu seperti integriti, perpaduan, atau hak asasi manusia turut membantut pembentukan nilai dan pemikiran kritis.
Tanpa rangsangan intelektual dan moral daripada dunia luar, pelajar mungkin hanya matang dari segi luaran tetapi cetek dalam pertimbangan etika dan sosial.
Oleh itu, polisi asrama yang terlalu mengongkong akses maklumat wajar dikaji semula. Pengurusan boleh menyediakan ruang membaca dengan bahan semasa seperti akhbar, majalah dan sumber pendidikan. Jika televisyen tidak dibenarkan sepanjang masa, mungkin sesi tontonan berita mingguan dan perbincangan bersama guru boleh dilaksanakan sebagai pendekatan reflektif dan mendidik.-UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD HELMI
SMK Dato’Sulaiman










