TERLETAK di kawasan Hutan Simpan Bukit Senggeh, Asahan, Bukit Batu Lebah, Melaka kini muncul sebagai antara destinasi pelancongan alam semula jadi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengunjung tempatan dan luar negara.
Dengan keindahan flora tropika yang belum terusik serta struktur geografi yang mencabar, bukit ini bukan sahaja menyajikan pengalaman rekreasi yang menyegarkan tetapi juga menjadi simbol kepada pendekatan pelancongan berasaskan kelestarian yang kian diberi perhatian menjelang sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025.
Bukit Batu Lebah mempunyai ketinggian sehingga 431 meter (m), dengan pelbagai laluan pendakian yang sesuai untuk pelbagai tahap kecergasan. Pendaki boleh memilih antara tiga laluan utama, bermula dari laluan paling rendah pada 208 (m) hingga ke puncak tertinggi yang mencecah 431 (m).
Laluan-laluan ini bukan sahaja mencabar dari segi fizikal, malah mendekatkan pengunjung dengan keajaiban hutan tropika yang menghijau dan penuh misteri.
Sepanjang perjalanan, pengunjung akan menemui akar-akar pokok yang melingkar di permukaan tanah, permukaan bukit curam, serta struktur batuan yang menggamit rasa kagum terhadap keagungan alam ciptaan Tuhan.
Bagi mereka yang gemar meneroka keunikan geologi, Bukit Batu Lebah turut menempatkan beberapa gua menarik yang boleh dilalui dalam satu sesi ekspedisi.
Antaranya ialah Gua Kelambu, Gua Reban, Gua Tiga Tingkat dan Gua Batu Senyum, masing-masing menawarkan cabaran fizikal dan mental yang tersendiri.
Aktiviti menyusuri gua-gua ini bukan sahaja menguji ketahanan diri, malah memberi pengalaman yang jarang dapat diperoleh dalam kehidupan seharian.
Ada yang perlu merangkak di dalam ruang sempit, ada juga yang perlu memanjat secara manual tanpa bantuan peralatan moden. Setiap langkah di dalam gua adalah pelajaran tentang kesabaran, ketelitian dan keberanian.
Menariknya, sepanjang laluan bukit dan gua, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai spesies flora unik seperti pokok tongkat ali, pudina hutan, kayu ara berusia ratusan tahun dan mengkuang liar yang hidup subur di persekitaran semula jadi.
Penemuan spesies ini menandakan kawasan ini kaya dengan biodiversiti dan harus dijaga rapi. Malah, kehadiran reptilia seperti cicak tokek dan ketam hutan yang hanya muncul pada musim tertentu menjadi bukti betapa ekosistem Bukit Batu Lebah masih terpelihara.
Sebagai destinasi pelancongan, fasiliti yang disediakan di kawasan ini juga tidak kurang hebatnya.
Pelawat boleh memilih untuk menginap di chalet atau membuka khemah di kawasan perkhemahan yang telah disediakan.
Terdapat juga dewan terbuka dan surau yang memudahkan penganjuran program berkumpulan seperti kem motivasi, latihan dalam kumpulan (LDK) dan aktiviti rekreasi keluarga.
Kemudahan asas ini memberi nilai tambah kepada Bukit Batu Lebah sebagai lokasi sesuai untuk semua lapisan umur dan latar belakang.
Dengan kelebihan-kelebihan ini, Bukit Batu Lebah seharusnya menjadi antara ikon pelancongan Melaka yang diketengahkan dalam sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025.
Bukit Batu Lebah bukan sahaja layak diketengahkan dalam Tahun Melawat Melaka 2025, malah patut diangkat sebagai tapak rujukan nasional untuk pembangunan ekopelancongan komuniti.-UTUSAN
MOHD ADIB IZZAT MOHD. NOR
Pensyarah Fakulti Pengurusan
Hotel & Pelancongan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Melaka










