Asasi titik permulaan pupuk sikap berdikari, matang

Asasi titik permulaan pupuk sikap berdikari, matang

ASASI bukan sekadar laluan ke universiti tetapi medan latihan untuk menjadi insan yang lebih berdikari, berdisiplin dan matang dalam membuat keputusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI melihat program asasi sebagai sekadar laluan pantas ke universiti. Namun, realitinya, program ini lebih daripada itu. Ia merupakan fasa penting yang menguji ketahanan diri pelajar, membentuk jati diri dan mencorakkan sikap terhadap ilmu serta kehidupan.

Sebagai salah seorang pengajar di pusat asasi, saya berpeluang melihat sendiri pelbagai cabaran dan perubahan yang dialami pelajar dalam tempoh singkat ini. Bagi kebanyakan pelajar, peralihan daripada alam persekolahan ke pengajian tinggi bukan sesuatu yang mudah. Di pusat asasi, rentak pembelajaran lebih pantas, kandungan silibus lebih padat dan jangka masa yang diberikan pula sangat terhad. Dalam suasana ini, kemampuan menyesuaikan diri menjadi penentu kejayaan.

Tidak seperti suasana di sekolah menengah, pelajar asasi perlu lebih berdikari dalam menguruskan masa, menyelesaikan tugasan, dan memahami topik yang diajar. Tiada lagi guru yang sentiasa mengingatkan atau menanda buku latihan setiap hari. Pensyarah menggalakkan pelajar untuk mengambil inisiatif sendiri. Oleh itu, disiplin kendiri amat penting.

Ada pelajar yang mengalami kejutan budaya akademik di mana rasa tertekan dengan jumlah tugasan, kurang tidur atau berdepan keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan. Namun, semua ini adalah sebahagian daripada proses pembentukan kecekalan mental dan emosi.

Salah satu cabaran besar pelajar asasi ialah kecenderungan membandingkan diri dengan orang lain. Melihat rakan sebaya yang cemerlang kadang-kala menimbulkan perasaan rendah diri atau tidak cukup bagus. Dalam hal ini, pelajar harus diajar untuk menumpukan perkembangan diri sendiri dan tidak terperangkap dalam perlumbaan yang memenatkan emosi.

Setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Justeru, lebih baik menetapkan sasaran peribadi dan berusaha mencapainya secara konsisten. Kemajuan kecil setiap hari lebih bermakna daripada perubahan besar yang tidak kekal.

Satu aspek penting yang sering diabaikan pelajar ialah tujuan pembelajaran. Ramai belajar sekadar untuk mendapatkan markah tinggi atau memenuhi harapan ibu bapa. Sedangkan, apabila seseorang pelajar benar-benar memahami sebab mereka belajar, motivasi yang terhasil akan lebih kukuh dan tahan lama.

Tujuan ini bukan sahaja mendorong mereka untuk berjaya dalam akademik tetapi juga membentuk sikap positif terhadap ilmu, masyarakat dan masa hadapan. Pendidikan bukan hanya untuk memperoleh pekerjaan tetapi juga untuk membina karakter dan menyumbang kepada negara.

Program asasi merupakan ruang terbaik untuk pelajar mengenal potensi diri, membina keyakinan dan belajar berdikari. Ia menjadi landasan kukuh untuk menghadapi dunia pengajian tinggi dan kehidupan yang lebih mencabar selepas itu.

Tidak semua orang diberi peluang melanjutkan pelajaran di peringkat asasi. Maka, peluang ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina peribadi yang matang, berdaya tahan dan berpandangan jauh.

Semua nota yang ditulis, setiap malam yang dilalui dengan tekun dan segala cabaran yang berjaya diatasi adalah bukti pelajar tersebut sedang melangkah ke arah kejayaan sebenar bukan sahaja dalam akademik tetapi dalam kehidupan.

Kepada semua pelajar baharu yang baru melangkah ke dunia asasi, selamat datang ke fasa baharu kehidupan anda. Di sinilah tempat anda mula mengenali potensi diri, membina keyakinan dan mencabar keupayaan sendiri.

Asasi bukan sekadar laluan ke universiti tetapi medan latihan untuk menjadi insan yang lebih berdikari, berdisiplin dan matang dalam membuat keputusan. Cabaran pasti ada tetapi setiap daripadanya membawa peluang untuk menjadi lebih kuat dan bijaksana. Yakinlah anda berada di tempat yang tepat dan setiap langkah yang diambil hari ini akan memberi kesan besar pada masa hadapan.-UTUSAN

NORHAFIZA MUDA
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bahagian Fizik, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN