Anak muda wajar jadi wajah baharu Sabah

Anak muda wajar jadi wajah baharu Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, jika tidak dibubarkan lebih awal. Hal ini menarik perhatian seluruh rakyat Sabah serta parti-parti politik yang bakal bertanding. Setakat ini, sebanyak 23 parti layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pandangan daripada rakyat dan ahli akademik wajar diberi perhatian dalam menentukan hala tuju Sabah. Anak muda yang berwibawa layak diberikan ruang dan peluang untuk memimpin negeri ini. Anak muda Sabah merupakan tonggak dan masa hadapan negeri.

Politik yang tidak sihat wajar diketepikan bagi memberi peluang kepada generasi muda mengikut jejak yang betul dan menjadi pemimpin berintegriti dalam mengemudi Sabah pada masa akan datang.

Isu mengenai masalah pembangunan sosial, ekonomi dan kemiskinan mungkin boleh diatasi dengan memberi peluang kepada anak muda sebagai wajah baharu untuk memimpin negeri di Bawah Bayu ini.

Anak-anak muda yang menunjukkan kejayaan dalam pelbagai bidang wajar diangkat dan diberikan peluang sebagai pemimpin baharu sekiranya mereka berminat terlibat dalam politik.

Pengalaman, kemahiran dan pengetahuan mereka sangat bernilai dalam membentuk dan menggerakkan Sabah ke fasa baharu, khususnya pasca PRN Sabah ke-17.

Jika boleh, Sabah sewajarnya mengelak daripada kehilangan anak-anak muda yang cemerlang dan berwibawa ini ke negeri atau negara lain kerana ia akan merugikan pembangunan negeri. Antara langkah proaktif ialah melibatkan anak muda Sabah yang berpotensi dalam dunia politik kerana mereka memerlukan latihan dan pengalaman politik sejak awal.

Berbeza dengan anak muda yang hanya pandai mengkritik dan menulis di media sosial atau akhbar tetapi tidak menyumbang secara langsung kepada pembangunan Sabah, negeri ini memerlukan generasi muda yang berilmu dan berfakta, memahami undang-undang dan menghormatinya. Hal ini penting agar apabila menjadi pemimpin pada masa hadapan, mereka tidak terlibat dalam perkara yang boleh merugikan negeri.

PRN Sabah ke-17 ini merupakan platform yang sesuai untuk mengangkat anak-anak muda yang berwibawa dan produktif. Contoh, Azizul Julirin yang aktif dalam penglibatan politik serta merupakan ikon usahawan muda Sabah, wajar diberikan peluang bukan sahaja untuk bertanding tetapi juga untuk terlibat dalam kepimpinan negeri. Seperti kata Saidina Ali bin Abi Talib r.a., “Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Oleh itu, bagi memastikan Sabah bergerak seiring slogan ‘Sabah Maju Jaya’, anak-anak muda wajar diberi peluang untuk terlibat secara aktif dalam mengemudi negeri di Bawah Bayu ini.

Sabah tidak memerlukan politik baharu tetapi memerlukan wajah baharu yang berilmu, berkemahiran, memahami undang-undang, berintegriti dan berwibawa, khususnya daripada golongan anak muda.-UTUSAN

DR. ASZLAN SELAMAT Pensyarah Kanan,
Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×