MALAYSIA sedang giat memperkukuh kedudukan sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan infrastruktur digital.
Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021–2025 (AI R-map) yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkumi pembangunan dan penerapan teknologi itu secara menyeluruh.
Inisiatif ini disokong pelbagai pihak berkepentingan termasuk institusi pengajian tinggi (IPT), pemain industri dan agensi kerajaan. Antara fokus utama ialah pembentukan ekosistem AI yang kukuh, pengukuhan infrastruktur data dan teknologi, pemerkasaan bakat tempatan serta pelaksanaan tadbir urus beretika dan inklusif.
Universiti tempatan memainkan peranan penting sebagai pemacu utama dalam pembangunan modal insan dan penyelidikan AI yang bertanggungjawab. Namun, cabaran utamanya ialah kekurangan tenaga pakar dan profesional mahir dalam bidang ini. Justeru, universiti perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menawarkan program akademik berasaskan AI termasuk program ijazah sarjana muda, pascasiswazah, kursus jangka pendek serta pensijilan profesional.
Walaupun beberapa universiti mula menawarkan program pengkhususan dalam AI dan pembelajaran mesin, usaha ini perlu diperluas melalui penyesuaian kurikulum, latihan berterusan untuk pensyarah serta kerjasama rapat dengan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Universiti turut memainkan peranan penting dalam penyelidikan AI. Fokus penyelidikan perlu merangkumi aplikasi AI dalam menangani cabaran tempatan seperti pertanian pintar, pengurusan banjir, pembelajaran adaptif dan kesihatan awam.
Pelan AI turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, industri dan sektor awam. Ini menuntut perancangan projek penyelidikan rentas disiplin yang dapat memberi impak nyata kepada masyarakat. Namun begitu, pelbagai cabaran perlu diatasi termasuk kekangan dana, jurang kepakaran pensyarah serta tahap kesiapsiagaan teknologi yang berbeza.
Maka, strategi jangka panjang seperti pelaburan berfasa, latihan sabatikal di pusat teknologi antarabangsa dan pembangunan platform pembelajaran AI dalam talian perlu diterokai bagi memastikan inisiatif ini bersifat inklusif dan mampan.
Universiti seharusnya menjadi ruang kritikal untuk menilai implikasi sosial AI, khususnya dari sudut dasar, etika dan kesaksamaan. Kursus seperti etika AI, inovasi tanggungjawab dan hak digital wajar dimasukkan dalam kurikulum supaya generasi akan datang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga mampu berfikir secara kritis dan bertanggungjawab.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SUHANA SAAD
Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










