SST buka peluang urus belanja dengan lebih bijak

SST buka peluang urus belanja dengan lebih bijak

CUKAI Jualan dan Perkhidmatan (SST) baharu diperkenalkan pada 1 Julai lalu membuka peluang mendidik rakyat tentang kepenggunaan yang rasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA 1 Julai lalu, perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bukan sekadar isu kenaikan harga barang tetapi perubahan besar terhadap cara rakyat merancang kewangan harian, memahami tanggungjawab fiskal dan membentuk budaya ekonomi yang lebih matang.

SST kini perlu dilihat bukan semata-mata sebagai beban kewangan tetapi peluang memperkukuh disiplin berbelanja dan membina asas ekonomi yang lebih lestari.

Sebagai warganegara dalam sistem demokrasi moden, rakyat berhak mengetahui ke mana perginya hasil cukai yang dibayar. Ketelusan dalam pelaksanaan SST penting untuk memelihara kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Ini menuntut laporan terbuka, komunikasi yang jelas dan penglibatan aktif masyarakat dalam menilai impak dasar fiskal kepada kehidupan harian.

SST akan mempengaruhi bagaimana rakyat membuat keputusan kewangan. Pengguna kini berdepan dilema memilih perkhidmatan awam yang murah tetapi sesak atau swasta yang pantas tetapi mahal. Sebagai contoh, kos rawatan klinik swasta mungkin meningkat, memaksa rakyat berpendapatan sederhana bergantung sepenuhnya kepada sistem kesihatan awam. Impaknya bukan hanya pada poket tetapi juga pada struktur sosial dari akses pendidikan hingga kepercayaan terhadap sistem awam.

Paling terkesan ialah golongan berpendapatan rendah. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan SST disertai langkah mitigasi seperti subsidi bersasar, pengecualian cukai ke atas perkhidmatan asas dan bantuan tunai untuk kumpulan rentan. Cukai ini harus menjadi instrumen yang menyokong keseimbangan pembangunan, bukan menambah jurang sosial.

Sisi positifnya pula ialah peluang mendidik rakyat tentang kepenggunaan yang rasional. Dengan cukai sebagai pertimbangan, pengguna akan mula membezakan keperluan dan kehendak, menilai semula komitmen kewangan serta memilih produk tempatan dan perkhidmatan bebas cukai. Ini mampu merangsang ekonomi tempatan dan mengubah budaya berbelanja ke arah lebih lestari.

Kejayaan SST tidak terletak pada kerajaan sahaja. Peniaga perlu berlaku jujur dan tidak mengambil kesempatan untuk mengaut untung berlebihan. Media, institusi pendidikan dan masyarakat sivil juga wajar memainkan peranan dalam mendidik pengguna mengenai hak, tanggungjawab dan celik fiskal.

Kesimpulannya, SST adalah peluang untuk membentuk negara yang lebih matang dari segi kewangan dan sosial. Ia memerlukan rakyat yang faham, bukan hanya membayar cukai tetapi juga menghayati tujuannya demi negara yang inklusif, adil serta mampan.

Kini masanya untuk kita semua bergerak dari pasif kepada aktif, dari rungutan kepada tindakan dan dari pengguna biasa kepada warganegara yang bijaksana.-UTUSAN

PROFESOR. MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN