PENGGUNAAN ‘Islam’ dalam pendaftaran pertubuhan atau persatuan perlu dieksklusifkan bagi mengelakkan sebarang fahaman berbeza berbanding ajaran Islam sebenar.
Kita bersetuju jika gerakan Sisters in Islam (SIS) Forum terbukti bahaya dalam bab akidah dengan fahaman liberalisme, pluralisme dan sekularisme yang berselindung sebalik nama.
Kita berharap pihak kerajaan bertindak dengan bijaksana dengan mengekalkan nama ‘Islam’ kepada mana-mana persatuan, institusi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang jelas membawa ajaran Islam. Manakala yang beraliran sekularisme, liberalisme, pluralisme dan ajaran yang difatwakan sesat oleh pihak berautoriti ditarik balik penggunaan ‘Islam’.
Ini bermakna semua pertubuhan yang tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966 hendaklah dikaji semula.
Beberapa cadangan untuk mengelak penggunaan nama Islam disalahguna seperti:
– Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) perlu menjadikan Jabatan agama Islam negeri, jabatan mufti dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai rujukan supaya wujud tapisan ketat dalam pendaftaran pertubuhan.
– Pihak autoriti agama dan ulama menyebarkan maklumat fahaman liberalisme, pluralisme dan ajaran yang difatwakan sesat oleh pihak berautoriti agama.
– Bengkel akidah Ahlus sunnah Waljamaah al Asya’irah almaturidiah bagi pembawa ajaran sesat dilaksanakan segera.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan dukacita terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan hendaklah dipandang serius oleh kerajaan. Ini termasuk memperkasakan undang-undang Islam lebih berkuasa berbanding sivil.-UTUSAN
DR. ZUNAIDDIN IBRAHIM
Bekas Imam Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) Kuantan










