Pempengaruh tidak bertanggungjawab ancaman baharu masyarakat, negara

Pempengaruh tidak bertanggungjawab ancaman baharu masyarakat, negara

SUDAH tiba masanya untuk kerajaan merangka garis panduan etika pempengaruh digital di peringkat kebangsaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, seorang pempengaruh permotoran yang berpura-pura hilang dengan menenggelamkan kereta milik isterinya ke dalam sungai sebelum melarikan diri ke luar negara, bukan sekadar kisah sensasi bagi meraih perhatian di media sosial. Ia merupakan gambaran jelas tentang betapa seriusnya krisis tanggungjawab sosial dalam kalangan pempengaruh digital di negara kita.

Tengku Nizaruddin bukan individu biasa. Beliau memiliki pengaruh yang besar dalam mencorakkan persepsi orang ramai. Lihat sahaja ketika laporan kehilangannya tular, ramai yang tampil untuk membantu dan mendoakan. Pasukan polis, bomba, dan penyelamat turut dikerah untuk mencarinya. Namun, bangkai gajah tidak boleh ditutup. Baunya pasti tercium. Semua itu terbongkar sebagai sebuah rekaan dan perancangan sinis semata-mata.

Tindakan ini bukan sahaja mempermainkan emosi keluarga dan masyarakat, tetapi turut membazirkan sumber negara serta mencemarkan integriti sistem keselamatan dan keadilan. Malah, ia menimbulkan persoalan besar sejauh mana kuasa pempengaruh digital digunakan secara bertanggungjawab dalam masyarakat moden?

Di Malaysia juga, beberapa pempengaruh turut dikaitkan dengan penipuan hadiah palsu, promosi produk tidak sahih dan penyebaran maklumat palsu. Semua ini jelas menunjukkan tanpa etika dan integriti, pempengaruh sewenang-wenangnya memanipulasi dan merugikan masyarakat. Mereka bukan lagi sebuah sumber inspirasi.

Lebih membimbangkan, data semasa menunjukkan sebanyak 63 peratus pengguna lebih mempercayai pempengaruh berbanding iklan konvensional. Namun pada masa sama, 36 peratus pengguna menyatakan mereka semakin hilang kepercayaan terhadap pempengaruh akibat skandal dan kandungan tidak beretika. Kajian juga menunjukkan bahawa 61 peratus pempengaruh di Instagram Malaysia dipercayai menggunakan pengikut palsu. Ini menunjukkan walaupun kuasa digital semakin meluas, tahap kepercayaan terhadap pempengaruh semakin rapuh dan memudar.

Justeru, pempengaruh seharusnya tertakluk kepada piawaian etika dan tanggungjawab sosial yang jelas. Kita tidak boleh membiarkan individu dengan berpengaruh besar dalam masyarakat beroperasi tanpa garis panduan yang memelihara kepentingan awam.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan, melalui Kementerian Komunikasi atau agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), merangka garis panduan etika pempengaruh digital di peringkat kebangsaan. Pempengaruh yang menjana pendapatan atau memberi pengaruh dalam bidang awam seperti kesihatan, kewangan, motivasi dan agama, mesti didaftarkan secara rasmi dan disemak latar belakang mereka. Di samping itu, pengguna juga perlu lebih celik media agar mereka mampu menilai kandungan yang diterima bukan sekadar berdasarkan gaya penyampaian atau jumlah pengikut tetapi atas dasar integriti dan kebenaran.

Menjadi pempengaruh bukanlah semata-mata tentang mencipta kandungan atau mengejar tanda suka dan pengikut. Ia adalah satu bentuk amanah. Dan apabila amanah itu dikhianati, kesannya jauh lebih besar daripada sekadar kurang jumlah pengikut. Ia menghakis kepercayaan rakyat terhadap sesama anggota masyarakat, agensi penyelamat dan sistem undang-undang. Ia adalah satu ancaman kepada kesejahteraan negara kita semua.

Yang kita perlukan adalah lebih ramai insan berprinsip yang tahu perbezaan antara pencapaian dan penipuan, antara kemasyhuran dan tanggungjawab. Jika kita gagal menuntut tanggungjawab daripada para selebriti ‘mee segera’ dan pempengaruh ini, maka kitalah yang akan terus dipermainkan oleh sandiwara tanpa penghujung daripada wajah-wajah manis di skrin kecil kita.-UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Bahasa
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN