NEGARA dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban dalam kemalangan bas ekspres di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, Perak baru-baru ini.
Dalam kejadian berasingan, seramai 28 penumpang termasuk 13 pelajar dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki terbabas. Walaupun tiada kehilangan nyawa dilaporkan, kejadian ini jelas menunjukkan kelemahan serius dalam aspek pemantauan dan pelaksanaan standard keselamatan pengangkutan berat.
Pelajar universiti adalah aset penting negara. Mereka merupakan bakal pemimpin, penyelidik, jurutera, guru, ahli ekonomi, pakar teknologi dan pelbagai lagi peranan kritikal dalam pembangunan masa hadapan Malaysia. Kehilangan mereka kerugian besar terhadap modal insan negara. Justeru, perlindungan terhadap keselamatan pelajar tidak boleh dipandang enteng atau hanya menjadi agenda reaktif selepas berlaku tragedi.
Insiden ini wajar menjadi titik tolak kepada tindakan segera dan holistik oleh semua pihak berkepentingan termasuk institusi pengajian tinggi (IPT), syarikat pengangkutan, pihak berkuasa jalan raya serta kementerian berkaitan.
Tragedi ini adalah ‘panggilan kesedaran’ yang nyawa pelajar terlalu berharga untuk dikompromi. Sudah tiba masanya kita memberi perhatian dan perlindungan yang sewajarnya dengan memastikan aspek keselamatan sentiasa diutamakan.-UTUSAN
AMIRUL SALAM HASAN
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)









