Larangan vape sepenuhnya tidak selesaikan masalah

Larangan vape sepenuhnya tidak selesaikan masalah

DARIPADA melaksanakan larangan menyeluruh terhadap vape, lebih wajar jika meneliti bagaimana bahan-bahan terlarang boleh menyusup masuk ke dalam negara sejak awal lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa tahun lepas, semakin ramai mendesak kerajaan negeri mengharamkan produk vape sepenuhnya. Isu ini menjadi tular akibat kebimbangan terhadap penyalahgunaan peranti vape oleh golongan remaja dan juga pelajar sekolah rendah.

Walaupun kebimbangan ini ada asasnya, kita perlu berhati-hati agar tidak mengambil jalan pintas yang hanya memberi ketenangan sementara tanpa menyelesaikan masalah sebenar.

Hakikatnya, pengharaman vape tidak akan menyelesaikan isu penyalahgunaan dadah. Malah, tindakan sedemikian mungkin hanya mengalihkannya ke pasaran gelap yang lebih sukar dikawal.

Memang benar terdapat laporan membimbangkan mengenai cecair vape yang dicampur dengan bahan terlarang, dan ya, sindiket dadah kini semakin canggih. Namun, jika terlalu menumpukan perhatian kepada vape sebagai punca utama, kita mungkin terlepas pandang masalah sebenar iaitu kemudahan akses kepada dadah melalui platform dalam talian dan kawalan sempadan.

Selagi ada permintaan, sindiket akan tetap mencari jalan sama ada melalui vape, coklat, gula-gula mahupun minuman berbotol. Jika satu saluran diharamkan, kaedah penghantaran akan berubah. Larangan sepenuhnya terhadap vape mungkin memberi gambaran seolah-olah kita mengawal keadaan, tetapi hakikatnya ia tidak menyentuh punca sebenar yang sedang dimanipulasi oleh rangkaian jenayah terancang.

Pengguna dewasa yang sebelum ini menggunakan vape sebagai alternatif kepada rokok mungkin akan bergantung kepada sumber tidak sah yang berisiko tinggi mengandungi bahan terlarang.

Namun ini tidak bermakna kita perlu berdiam diri. Sebaliknya, perlu memperkemas penguatkuasaan, termasuk mempertingkat pemantauan terhadap saluran jualan dadah dalam talian dan memperketat kawalan di sempadan. Daripada melaksanakan larangan menyeluruh terhadap vape, lebih wajar jika kita meneliti bagaimana bahan-bahan terlarang ini boleh menyusup masuk ke dalam negara sejak awal lagi. Masalah sebenar bukan pada peranti itu tetapi pada kegagalan menghalang apa yang dimasukkan ke dalamnya.-UTUSAN

SOMCHAI NAI BOON
Wang Kelian

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN