Larang vape sekarang, sebelum lebih ramai jadi mangsa

Larang vape sekarang, sebelum lebih ramai jadi mangsa

PENJUALAN dan penggunaan vape serta e-rokok di seluruh negara perlu diharamkan berikutan peningkatan ketara ketagihan dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi menggesa kerajaan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape serta e-rokok di seluruh negara, berikutan peningkatan ketara ketagihan dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Isu vape kini sudah berada di luar kawalan. Lebih membimbangkan, trend penggunaan vape dalam kalangan wanita dan remaja semakin meningkat, malah cecair vape kini dicampur dengan dadah sintetik, termasuk ganja dan perisa seperti ‘cendawan ajaib’ yang mempengaruhi otak dan tingkah laku pengguna muda.

Ramai remaja terjebak tanpa sedar ke dalam bentuk baharu ketagihan dadah melalui penggunaan cecair vape yang disalut dengan pelbagai perisa menarik. Ini adalah budaya baharu yang sedang menular, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Tiada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa atau berbincang dengan industri vape, kerana statistik dan laporan sudah jelas menunjukkan kesan buruk produk tersebut. Sebagai contoh, laporan Kementerian Kesihatan menunjukkan bilangan remaja berusia 13 hingga 15 tahun yang ketagih vape meningkat dari 211,084 orang pada 2017 kepada 301,109 pada 2022.

CAP juga menyelar tindakan beberapa kerajaan negeri yang masih mahu berbincang dengan pemain industri sebelum membuat keputusan. Negeri-negeri yang belum mengharamkan vape perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku kematian atau peningkatan kos rawatan akibat penggunaan produk ini.

Baru-baru ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu ini dan menyokong penuh larangan menyeluruh terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini.

“Vape harus diharamkan sepenuhnya. Kita tidak boleh berlembut kerana ia hanya akan memudaratkan rakyat,” titah baginda.

CAP akan menghantar surat rasmi kepada raja-raja Melayu untuk campur tangan dan menyeru kepada pengharaman segera vape dan e-rokok, termasuk menggesa ketua kerajaan negeri bertindak segera tanpa berlengah.

Ini bukan soal melindungi industri tembakau, tetapi soal menyelamatkan masa depan anak-anak kita.-UTUSAN

N.V.SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Kanan dan aktivis
Antimerokok Persatuan Pengguna
Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN