Kesetiaan kepada raja, negara sebagai nadi jiwa kebangsaan

Kesetiaan kepada raja, negara sebagai nadi jiwa kebangsaan

INSTITUSI beraja adalah pengimbang dalam menyelesaikan masalah berkaitan perpaduan atau kesepakatan seluruh warganegara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARISAN dari Kesultanan Melayu Melaka yang terus menjadi legasi ialah institusi beraja. Institusi tersebut kekal sebagai warisan dan lambang perpaduan serta kemakmuran dalam sebuah negara berdaulat seperti Malaysia.

Waadat (perjanjian) antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun menjadi asas taat setia terhadap raja sepertimana yang terkandung dalam Sulalatus Salatin. Taat setia tersebut adalah permulaan kepada konsep daulat dan derhaka.

Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara yang berdaulat sejajar dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Baginda berperanan dalam memastikan pentadbiran, keamanan dan keharmonian sentiasa terpelihara.

Prinsip kedua dalam Rukun Negara memperincikan mengenai konsep kesetiaan kepada raja dan negara. Antaranya ialah tanggungjawab antara rakyat dan pemerintah.

Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja adalah lambang perpaduan kerana berada di luar institusi politik. Baginda adalah payung negeri dan menjadi ketua agama Islam. Baginda turut memastikan pelaksanaan agama Islam dalam suasana tertib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Sejarah sistem Raja Berperlembagaan perlu diketahui dan disanjungi sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab bagi meningkatkan patriotisme.

Majlis Raja-Raja mempunyai bidang kuasa yang diperuntukkan merangkumi pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Sistem pemilihan secara penggiliran dalam kalangan sembilan orang raja Melayu dilaksanakan.

Baginda juga turut memberikan persetujuan atau penolakan terhadap perkara penting yang berkaitan dengan agama dan negara.

Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan pelantikan hakim mahkamah atasan oleh Yang di-pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Hal ini juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara. Secara tidak langsung menyokong prinsip keluhuran perlembagaan.

Kesetiaan adalah jiwa kebangsaan dan perlu lahir dari hati sanubari setiap warganegara. Bingkai kesatuan perlu dipertahankan dalam negara Malaysia agar menjadi lambang kedaulatan negara.

Institusi beraja menjadi perlambangan kepada keharmonian sosial dalam negara. Mengenali dan memahami institusi raja akan dapat memugar sikap taat setia di samping menguatkan semangat cinta akan negara.

Elakkan menyentuh sebarang isu-isu sensitif berkaitan 3R meliputi agama, bangsa dan institusi raja yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam negara yang berbilang kaum. Teras tersebut perlu dijiwai dan menjadi falsafah kenegaraan.

Kedudukan, fungsi dan peranan institusi raja-raja Melayu dan Insitusi Yang di-Pertuan Agong adalah mekanisme yang perlu digunakan dengan sebaik mungkin bagi menjamin hubungan yang sejahtera dalam kalangan rakyat Malaysia.

Institusi beraja adalah pengimbang dalam menyelesaikan masalah berkaitan perpaduan atau kesepakatan seluruh warganegara Malaysia. Raja berdaulat merupakan tonggak kerajaan dan bingkai perpaduan perlu dipertahankan walaupun berbeza ideologi politik.-UTUSAN

PROFESOR MADYA
DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia, (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN