DALAM era digital yang semakin canggih, kanak-kanak tidak lagi selamat hanya dengan berada di rumah. Ancaman kini datang dalam bentuk yang lebih halus seperti melalui skrin kecil di tangan.
Jenayah seksual terhadap kanak-kanak, khususnya melalui taktik pengantunan kanak-kanak semakin membimbangkan.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan lebih 1,200 kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak direkodkan sepanjang tahun lalu.
Apa yang lebih merisaukan, sebahagian besar daripada kes ini melibatkan eksploitasi dalam talian. Kanak-kanak berumur antara 10 hingga 17 tahun menjadi sasaran utama pemangsa yang licik dan bijak mengambil kesempatan melalui media sosial, aplikasi pemesejan dan permainan dalam talian.
Modus operandi pemangsa tidak lagi seperti dahulu. Mereka menggunakan identiti palsu untuk menyamar sebagai rakan sebaya, membina kepercayaan dan hubungan emosi dengan mangsa, sebelum mula menghantar mesej berunsur lucah atau meminta gambar bogel. Ada juga yang berani mengatur pertemuan fizikal bagi tujuan yang lebih dahsyat. Tindakan mereka tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya dibina secara perlahan dan sistematik. Inilah yang menjadikan pengantunan ancaman senyap yang sukar dikesan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata ramai ibu bapa tidak menyedari anak mereka sedang dieksploitasi.
Pemangsa bijak memanipulasi dan mengugut mangsa agar tidak melaporkan kejadian, menyebabkan jenayah ini terus berlaku dalam diam. Kekurangan kesedaran dan komunikasi dalam keluarga menjadikan kanak-kanak lebih terdedah dan takut untuk bersuara.
Satu kes yang mengejutkan negara pada awal tahun ini melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang ditahan kerana mencabul tiga remaja lelaki melalui permainan video dalam talian. Lelaki tersebut mengajak mangsa ke rumahnya, sebelum mengambil kesempatan melakukan jenayah seksual. Tidak lama selepas itu, dua lagi remaja menjadi mangsa dengan cara sama. Kes sebegini memberi gambaran jelas teknologi, jika disalah guna, boleh menjadi ‘pintu masuk’ kepada pemangsaan yang mengerikan.
Lebih menyedihkan, kesan terhadap mangsa bukan hanya fizikal tetapi juga psikologi. Ramai yang mengalami trauma berpanjangan, kemurungan, hilang keyakinan diri dan kepercayaan terhadap orang dewasa.
Dalam beberapa kes, mangsa menunjukkan kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri atau mengalami gangguan tingkah laku. Kesan ini berpanjangan hingga ke alam remaja dan dewasa, menjejaskan kehidupan sosial, pembelajaran serta kesejahteraan psikologi mereka.
Malaysia sebenarnya mengambil langkah untuk membendung jenayah ini melalui penggubalan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, termasuk Seksyen 11 yang memperuntukkan hukuman untuk kes ‘pengantunan’.
Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang masih menjadi cabaran besar. Kesukaran mengesan jenayah pada peringkat awal, kelewatan laporan dan kekurangan pegawai penyiasat terlatih menyukarkan proses keadilan kepada mangsa.
Usaha pencegahan tidak boleh dipandang ringan. Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak di alam maya secara aktif, berbincang secara terbuka tentang sempadan peribadi dan mewujudkan persekitaran selamat untuk anak meluahkan kebimbangan. Penggunaan aplikasi kawalan ibu bapa boleh membantu tetapi yang lebih penting ialah kehadiran fizikal dan emosi ibu bapa dalam kehidupan anak-anak.
Sekolah juga mempunyai peranan penting. Pendidikan tentang keselamatan dalam talian dan seksualiti perlu disampaikan secara bijak dan berperingkat, agar pelajar tahu membezakan tingkah laku yang tidak wajar dan berani berkata “tidak” apabila perlu. Ilmu ini mampu menyelamatkan banyak nyawa dan masa hadapan.
Di sebalik semua usaha ini, cabaran utama tetap datang daripada dunia digital. Pemangsa sering berada di luar negara atau menggunakan platform yang tidak mempunyai kawalan keselamatan ketat menjadikan kerjasama rentas negara dan antara agensi semakin penting.
Pengantunan kanak-kanak bukan sekadar jenayah senyap tetapi racun perlahan yang memusnahkan generasi muda dari dalam.
Keselamatan kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab ibu bapa tetapi seluruh masyarakat, kerajaan, institusi pendidikan dan industri teknologi. Jika kita terus memandang ringan isu ini, lebih ramai anak-anak akan menjadi mangsa dalam diam.
Sudah tiba masanya untuk bangkit, bersatu dan bertindak. Demi anak-anak kita, demi masa hadapan negara.-UTUSAN
NUR ATHIRAH & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










