Kecerdasan buatan kini guru ‘kedua’

Kecerdasan buatan kini guru ‘kedua’

PELAJAR China kini mula menggunakan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai pembantu belajar secara maya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAJAR di China ada yang tidak mahir atau fasih berbicara dan memahami bahasa Inggeris. Namun, mereka tetap memilih untuk belajar fizik dalam versi asal; sama ada buku teks, nota mahu pun kuliah dalam bahasa Inggeris. Ini menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan kesediaan untuk keluar dari zon selesa demi ilmu.

Di sinilah peranan aplikasi penterjemah seperti Baidu Translate, Google Translate, Youdao dan kamus elektronik menjadi sangat penting. Pelajar akan menyalin setiap perenggan kuliah atau nota ke dalam aplikasi ini, mendapatkan terjemahan dalam bahasa Mandarin dan membaca semula untuk memahami maksud sebenar. Bagi sesetengah pelajar, proses ini dilakukan secara berulang, terutamanya bagi konsep yang sukar seperti gerakan membulat atau teori gelombang.

Penggunaan alat terjemahan hanyalah satu bahagian daripada strategi mereka. Lebih menarik, pelajar China kini mula menggunakan aplikasi berasaskan AI sebagai pembantu belajar maya. Aplikasi seperti ChatGPT, iFlyTek dan model bahasa tempatan berasaskan Mandarin digunakan secara aktif untuk menjelaskan teori, menyemak jawapan dan mencadangkan penyelesaian kepada masalah fizik.

Ada pelajar yang menaip soalan dalam Mandarin dan meminta AI menerangkan konsep tertentu dalam bentuk analogi yang mudah. Ada juga yang menggunakan AI untuk menukar nota bahasa Inggeris kepada Mandarin, menjana rumusan automatik atau menghasilkan kuiz interaktif untuk latihan kendiri. Mereka menggunakan AI bukan sekadar sebagai mesin pencari jawapan, tetapi sebagai mentor digital yang setia.

Saya akui, pada awalnya risau apabila pelajar tidak aktif bertanya dalam kelas. Tiada soalan, tiada perbincangan terbuka dan kadangkala tiada reaksi. Namun apabila melihat tugasan mereka lengkap, tepat, dan dihantar lebih awal daripada tarikh akhir, saya mula faham kesunyian itu bukan bermakna mereka tidak belajar. Mereka belajar, cuma tidak secara tradisional.

Mereka belajar secara senyap, tetapi sistematik. Teknologi menjadi rakan setia mereka sama ada dalam bentuk aplikasi penterjemah mahupun kecerdasan buatan. Bagi mereka, AI ialah guru kedua yang tersedia 24 jam sehari, yang boleh menjelaskan apa yang guru pertama tidak sempat hurai.

Pengalaman ini membuka mata saya sebagai pendidik. Dalam dunia hari ini, pelajar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada guru untuk mendapatkan ilmu. Mereka mempunyai akses kepada pelbagai sumber pengetahuan digital, termasuk AI yang boleh memberikan jawapan serta-merta.

Namun di sinilah letaknya cabaran sebenar. Guru tidak boleh terus mengajar dengan cara lama. Kita perlu tahu bagaimana pelajar menggunakan alat bantu seperti AI dan penterjemah, kemudian membimbing mereka agar tidak hanya bergantung membuta tuli tetapi menggunakan secara bijak serta beretika.

Kita juga perlu tahu bila pelajar hanya menyalin jawapan daripada AI dan bila mereka benar-benar faham. Maka, pendekatan penilaian, soal jawab dan tugasan perlu dikemas kini agar mampu menguji kefahaman sebenar, bukan sekadar kebolehan mencari jawapan.

Hari ini, teknologi bukan lagi pelengkap tetapi menjadi teras dalam cara pelajar belajar. Pelajar China membuktikan dalam kekangan bahasa dan suasana pembelajaran yang kompetitif, mereka masih mampu cemerlang dengan bantuan teknologi, asalkan mereka tahu menggunakannya secara strategik.-UTUSAN

NORHAFIZA MUDA
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Bahagian Fizik, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN