REMAJA berdepan pelbagai cabaran seperti tekanan akademik, pengaruh media sosial dan tuntutan sosial yang kian rumit.
Golongan ini perlu membina kehidupan yang seimbang, bukan sekadar hebat dalam bidang pelajaran tetapi juga kukuh pegangan agama, akhlak terpuji serta jiwa yang dekat dengan nilai-nilai murni.
Situasi ini membuktikan kepentingan sasaran hidup yang jelas, disiplin diri dan contoh teladan sebagai pedoman. Kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau sijil, tetapi turut berpaksikan kekuatan jiwa, akhlak mulia serta kecintaan kepada Allah.
Nurly Shahirah Azman, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 23 yang kembali ke rahmatullah akibat kemalangan bas di Gerik, Perak, bulan lalu merupakan contoh terbaik. Yang menggetarkan perasaan, jasad Nurly Shahirah ditemui dalam keadaan memeluk al-Quran tulisan tangannya sendiri.
Nurly Shahirah membuktikan kejayaan hidup bukan hanya terletak pada pencapaian duniawi tetapi juga pada akhlak, pengabdian diri kepada Allah dan cinta kepada kitab suci.
Ayuh remaja, kita cuba teladani semangat dan kecekalan Nurly Shahirah. Semoga kisahnya menjadi inspirasi untuk kita semua agar terus berusaha menjadi insan yang seimbang berilmu, berakhlak dan mencintai al-Quran. Sesungguhnya, beliau meninggalkan ‘Jejak Hafizah Muda, Inspirasi Tanpa Noktah.’ Al-Fatihah.-UTUSAN
DR. NOR ASIKHIN ISHAK & DR. ZULHILMI HARON
Universiti Utara Malaysia (UUM)









