Institusi kehakiman perlu dihormati, dipertahankan

Institusi kehakiman perlu dihormati, dipertahankan

TIDAK wajar sekiranya mana-mana pihak terus mempertikaikan keputusan mahkamah kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan sistem dan institusi kehakiman negara kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FUNGSI utama institusi kehakiman adalah untuk memastikan kepatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang utama dalam negara kita. Institusi kehakiman bertugas untuk memastikan bahawa semua tindakan dan keputusan yang diambil oleh pihak kerajaan, penguatkuasa undang–undang atau mana–mana individu berada dalam batasan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang–undang yang ada dalam negara kita.

Institusi kehakiman juga dapat menentukan kesahihan undang-undang sama ada ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan ataupun tidak. Institusi kehakiman juga memainkan peranan penting dalam mentafsir undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Pada masa yang sama, adalah penting supaya semua pihak menghormati keputusan pihak mahkamah. Keputusan pihak mahkamah ini dilakukan selepas mengambil kira segala bahan bukti atau keterangan, prosedur perbicaraan yang telah dilakukan serta penghujahan yang telah dikemukakan oleh pihak-pihak yang berkaitan dengan kes terbabit. Adalah amat tidak wajar sekiranya mana-mana pihak terus mempertikaikan keputusan mahkamah kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan sistem dan institusi kehakiman negara kita.

Sekiranya pihak yang telah didapati bersalah tidak berpuas hati terhadap keputusan yang telah ditetapkan, undang-undang negara kita juga membenarkan mereka untuk membuat proses rayuan diperingkat mahkamah yang seterusnya. Dalam negara kita, mana–mana pihak yang ingin mengemukakan rayuan boleh merayu ke Mahkamah Rayuan sampai ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi sekali dalam negara kita.

Pihak yang terlibat juga boleh melakukan proses semakan kehakiman dan berusaha untuk mendapatkan pengampunan diraja. Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak memberi kepercayaan serta sokongan penuh kepada institusi kehakiman dan yang paling penting menghormati institusi kehakiman itu sendiri.

Sebarang ketidakpuasan terhadap sesuatu keputusan atau perkara bolehlah disalurkan melalui proses serta peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dalam negara kita. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×