Had kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa?

Had kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa?

KEBEBASAN bersuara dalam kalangan mahasiswa wajar diberikan, namun ia harus datang bersama kesedaran dan tanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBEBASAN bersuara merupakan hak asasi manusia yang diiktiraf oleh banyak negara. Secara umumnya, ramai bersetuju mahasiswa juga mempunyai hak untuk bersuara, lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan.

Namun begitu, kebebasan ini bukanlah sesuatu yang mutlak sebaliknya perlu hadir bersama tanggungjawab dan dalam sesetengah keadaan, wajar dihadkan demi kebaikan bersama.

Dari satu sudut, memberikan ruang kepada mahasiswa untuk bersuara boleh menggalakkan pemikiran kritis, keyakinan diri dan kesedaran sosial. Mahasiswa yang berani menyuarakan pendapat biasanya lebih peka terhadap isu semasa dan berpotensi menjadi pemimpin masa hadapan.

Sebagai contoh, gerakan mahasiswa yang memperjuangkan alam sekitar atau keadilan sosial membuktikan suara muda mampu mencetus perubahan. Namun, tidak dapat dinafikan terdapat juga mahasiswa yang menyalahgunakan kebebasan ini. Dalam sesetengah kes, suara yang dilontarkan bersifat provokatif, menghina atau menyebarkan maklumat tidak tepat.

Bukan semua mahasiswa mempunyai kematangan untuk menilai apa yang wajar atau tidak untuk diucapkan. Tanpa bimbingan, suara mereka boleh dipengaruhi emosi, tekanan rakan sebaya atau maklumat. Oleh itu, had tertentu perlu dikenakan supaya kebebasan bersuara tidak bertukar menjadi platform untuk perlakuan tidak bertanggungjawab.

Dalam hal ini, peranan mentor seperti pensyarah, kaunselor dan pemimpin pelajar penting untuk membimbing mahasiswa agar mampu menyalurkan pendapat secara berhemah.

Dengan adanya sokongan dan tunjuk ajar yang berterusan, mahasiswa dapat belajar membezakan antara kritikan membina dan tohmahan serta memahami kesan jangka panjang.

Kerana itu, pendidikan berkaitan etika komunikasi, pemikiran kritis dan penggunaan media sosial secara berhemah perlu ditekankan.

Dalam erti kata lain, kebebasan bersuara boleh dipupuk secara selamat jika terdapat budaya dialog yang sihat antara pelajar dan pendidik.

Sesi dialog terbuka, forum ilmiah atau perbincangan kelompok kecil boleh dijadikan platform rasmi untuk mahasiswa menyalurkan pandangan.

Ini bukan sahaja memperkasa suara mahasiswa tetapi turut membentuk iklim akademik yang progresif, inklusif dan demokratik.

Dari sudut undang-undang, hak untuk bersuara memang dilindungi. Kebebasan ini tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang boleh dihadkan atas alasan keselamatan negara, ketenteraman awam atau moral.

Dalam hal ini, undang-undang bertindak sebagai pengimbang antara kebebasan dan tanggungjawab. Oleh itu, penting untuk memahami garis sempadan yang ditetapkan undang-undang agar kebebasan yang dinikmati tidak disalah guna.

Pendidikan berkaitan hak asasi, undang-undang dan peranan media dalam masyarakat wajar dijadikan sebahagian daripada kurikulum atau aktiviti kokurikulum. Dengan pengetahuan yang mencukupi, mahasiswa bukan sahaja dapat menyuarakan pendapat secara matang dan beradab, malah turut menjadi agen perubahan yang bertanggungjawab dalam membina masyarakat yang lebih harmoni dan berintegriti.-UTUSAN

NOR AIN ABDULLAH
Komunikasi Media Baharu,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN