SEJAK bermulanya tragedi Taufan Al-Aqsa, angka korban terus meningkat saban hari. Konflik yang berterusan di Gaza bukan sekadar isu politik atau ketenteraan namun berubah menjadi tragedi kemanusiaan paling dahsyat pada abad ini.
Keganasan yang berlaku bukan hanya satu tragedi tetapi jenayah yang menuntut keadilan dan tindakan segera dari masyarakat antarabangsa. Sudah tiba masanya dunia membuka mata dan mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman yang dialami oleh penduduk Gaza.
Sejak konflik Israel-Palestin terus berlarutan, ribuan nyawa rakyat Gaza terkorban termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Serangan udara Israel seringkali mengorbankan orang awam yang tidak bersalah dengan menggunakan alasan ‘memerangi pengganas’.
Hospital, sekolah dan tempat ibadah menjadi sasaran serangan. Keadaan ini bukan sahaja melumpuhkan kehidupan harian penduduk Gaza malah menafikan hak mereka terhadap keselamatan, pendidikan serta isu perubatan dan kesihatan. Menurut sistem undang-undang antarabangsa, tindakan menyasarkan orang awam serta kemudahan awam adalah jelas satu bentuk jenayah perang.
Lebih memilukan ialah sikap berdiam diri sebahagian kuasa-kuasa besar dunia yang memilih untuk memekakkan telinga terhadap penderitaan rakyat Gaza. Ada pula negara yang secara terang-terangan menyokong tindakan Israel atas nama ‘pertahanan diri’ walau pada hakikatnya yang terbunuh setiap hari adalah anak-anak kecil yang tidak berdosa.
Liputan media Barat yang berat sebelah pula memburukkan lagi keadaan. Kekejaman Israel sering diselindungkan dengan naratif yang mengelirukan, manakala penderitaan rakyat Palestin jarang diberi perhatian sewajarnya. Ini menyebabkan sebahagian besar masyarakat antarabangsa tidak memahami situasi sebenar dan terus terpengaruh dengan propaganda palsu.
Dunia perlu bangkit dari kebisuan dan bersuara menentang kezaliman. Kita tidak boleh terus membiarkan kekejaman ini berleluasa. Solidariti global mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan tegas dan menyeluruh termasuk memboikot produk yang menyumbang kepada ekonomi Israel. Hanya dengan tindakan yang tegas, dunia dapat menunjukkan nyawa rakyat Gaza sama bernilai dengan sesiapa pun di dunia ini.
Gaza memerlukan suara kita, suara dunia. Rakyat Gaza juga manusia yang mempunyai impian, harapan dan hak untuk hidup dengan aman. Dunia tidak boleh lagi berpura-pura tidak melihat kekejaman yang berlaku.
Sudah tiba masanya untuk bersuara, bertindak dan menuntut keadilan untuk Gaza. Dalam dunia yang adil, tiada seorang pun patut menderita seperti yang dialami oleh rakyat Palestin hari ini.-UTUSAN
NURUL SUZEREEN SHARABAN,
Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya










