SISTEM Pengurusan Bantuan Kebajikan (SPBK) yang dikenali sebagai sistem eBantuanJKM dibangunkan pada 2006 dan dilancarkan setahun kemudian. Ia merupakan sistem dalam talian yang mempunyai pangkalan data profil penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertujuan memberi kemudahan berkaitan proses pengurusan dan pemantauan.
Bermula 1 April 2024, sistem ini diperluaskan ke Sarawak bagi meningkatkan lagi kecekapan dalam pengurusan bantuan kewangan JKM yang lebih telus, berintegriti dan diyakini.
Berdasarkan statistik JKM sehingga Mac 2025, terdapat seramai 54,564 penerima bantuan di Sarawak daripada keseluruhan bantuan di peringkat Persekutuan dan negeri yang berjumlah 549,948 penerima meliputi pelbagai skim bantuan.
Justeru, JKM memberi penghargaan kepada semua Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian terlibat dan memberi kerjasama dalam menjayakan penggunaan sistem eBantuanJKM sepenuhnya, memberi pengiktirafan kepada agensi-agensi terlibat dalam pelaksanaan penggunaan sistem eBantuanJKM di Sarawak dan membuka ruang kerjasama lebih erat pada masa akan datang terutamanya dalam pembangunan sistem eBantuanJKM yang baharu.
JKM sedang membangunkan Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan (SPBK) 2.0 baharu secara dalam talian sepenuhnya menggunakan platform digital yang selamat dan berintegriti. Setiap permohonan bantuan akan diproses dengan lebih efisien melalui fungsi perniagaan pintar, berintegrasi dengan MyGDX serta penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan pemberitahuan makluman daripada pelbagai saluran.
Ia dijangka siap pada penghujung 2026 ini merupakan sistem berimpak tinggi untuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan kepada penerima bantuan JKM dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
Inisiatif ini secara tidak langsung juga akan dapat meningkatkan kualiti pengetahuan dan kemudahan kepada rakyat ke arah celik digital dengan ketersediaan aplikasi yang boleh di akses di mana sahaja tanpa sempadan.-UTUSAN
Unit Perhubungan Awam
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)










