KERJASAMA antara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kesatuan Eropah (EU) bagi sektor pendidikan tinggi dan jaringan akademik diperkukuh melalui Dialog Polisi dan Sesi Jaringan Akademik yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mei 2025 di Brussels dan KU Leuven, Belgium.
Program ini menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin institusi pendidikan tinggi, wakil belia serta pakar pendidikan dari kedua-dua rantau bertujuan menyelaraskan keutamaan strategik dan membincangkan dasar berkaitan cabaran bersama seperti transformasi digital, mobiliti kemahiran, pendidikan inklusif, serta ketahanan terhadap perubahan iklim.
Antara hasil utama daripada program ini termasuklah peningkatan kefahaman terhadap kerangka pengiktirafan kemahiran antara rantau; strategi memperkukuhkan penyertaan belia dalam proses pembuatan dasar; dan pengukuhan hubungan antara pemegang taruh pendidikan ASEAN dan EU.
Perbincangan yang diadakan pada hari terakhir pula tertumpu kepada KU Leuven, iaitu sebuah institusi pendidikan tinggi terkemuka di Eropah yang menjadi tuan rumah bersama acara jaringan universiti ASEAN-EU bertemakan “Meningkatkan Kerjasama dalam Pendidikan Tinggi: Mengukuhkan
Kolaborasi Akademik EU-ASEAN”. Acara ini mengetengahkan model kejayaan kerjasama institusi, penyelesaian praktikal mengatasi cabaran kerjasama akademik, dan meneroka peluang untuk memperluaskan pertukaran tenaga kerja akademik.
Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada Pakej Keterhubungan Mampan-Program Pendidikan Tinggi EU-ASEAN (SCOPE-HE) yang dilancarkan pada pertengahan 2024. Sehingga kini, lebih 500 institusi pendidikan tinggi dari ASEAN dan EU telah terlibat melalui pemberian geran sambungan akademik, pelaksanaan kajian serantau berkaitan kerangka kelayakan dan jaminan kualiti, serta inisiatif pemerkasaan belia seperti kempen Empower Youth4Food. Secara keseluruhan, program ini menzahirkan komitmen jitu ASEAN dan EU dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi sebagai pemacu kemajuan bersama, inovasi dan pembangunan mampan serantau. – UTUSAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI










