SAYA setuju dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas baru-baru ini supaya setiap pengamal media perlu berpegang teguh kepada integriti, kebenaran dan tanggungjawab sosial dalam mendepani cabaran masa kini.
Menurut Zambry, dalam zaman pasca normal dan era pasca kebenaran, berita palsu termasuk teori konspirasi mudah tersebar dan ia mencabar kepercayaan masyarakat terhadap media.
Dengan sebab demikianlah, saya rasa wartawan masa kini seharusnya lebih berhati-hati semasa menghasilkan berita agar ia tidak menjadi berita palsu.
Wartawan jangan ingat berita mereka menarik minat pembaca tetapi nilai kebenaran hilang apabila diselit dengan laporan berbentuk rekaan.
Dalam hal ini, setiap wartawan perlu mematuhi etika kewartawanan dengan prinsip menghasilkan berita berdasarkan sumber tepat dan benar, bukan sumber di jalanan.
Dalam pada itu, bagi membendung kewujudan berita tidak benar, i tidak terkhusus kepada peranan media arus perdana sahaja, tetapi merangkumi berita-berita yang dihasilkan dalam pelbagai media sosial masa kini.
Kita tidak mahu wujud situasi berleluasa di negara ini dengan pelbagai bentuk berita palsu dan setelah laporan itu dikritik oleh masyarakat, dengan senang pihak-pihak berkenaan memohon maaf.
Justeru, etika kewartawanan perlu juga merangkumi mereka yang menghasilkan apa sahaja bentuk laporan agar masyarakat lebih yakin kepada setiap berita yang dilaporkan.
Janganlah biarkan keadaan berleluasa hingga Malaysia akan dikenali dengan negara penyiaran berita palsu kerana sumber berita sekadar di ‘kutip’ di tepi jalan.
Dengan sebab demikian, sekali lagi ingin saya tegaskan agar kerajaan melalui agensi-agensi tertentu menguatkuasakan kod etika kewartawanan kepada semua pihak yang menghasilkan penulisan berita atau laporan agar perluasan sebaran berita palsu di negara ini dapat dibendung.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










